SUNGAI PETANI: Dia layak digelar kasanova Lombok kerana sudah mempunyai isteri dan kekasih gelap di negaranya, tetapi masih tidak puas dengan menjadikan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sebagai mangsa terbarunya.
Kerana cinta, Nursyafawani Jaafar, pelajar Sekolah Menengah Dato Lela Pahlawan, Padang Serai, dekat sini, sanggup meninggalkan keluarganya selepas terpedaya pujuk rayu lelaki Lombok yang menjanjikan pelbagai kemewahan.
Nursyafawani seorang pelajar pintar, tetapi kerana desakan ‘teman lelakinya’, dia tewas dan terjerat dengan cinta Lombok.
Bapa pelajar itu, Jaafar Man, 44, berkata anak keduanya daripada enam beradik keluar rumah pada 14 November tahun lalu, kira-kira jam 9 pagi selepas memberitahu hendak keluar bersama rakan sekolahnya.
“Wani keluar rumah dengan membawa dua helai seluar jeans dan dua helai kemeja-T dalam beg sekolahnya. Dia kata hendak ke rumah kawan di Lunas. “Saya tak mengesyaki apa-apa kerana dia tidak pernah bercakap bohong...saya sungguh sedih kerana dia sanggup mengikut lelaki itu ke Lombok. “Beberapa hari selepas itu, lelaki terbabit menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan dia akan bernikah dengan anak saya di Selatan Thailand,” katanya yang ditemui di rumahnya di Ladang Padang Buluh, dekat sini, semalam. Jaafar dan isterinya Kamsiah Saad, 40, tidak menyangka lelaki yang dikenalinya itu sanggup melarikan anaknya walaupun hubungan keluarga mereka dengan lelaki itu sangat baik.
“Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Darik Jayadi, 35, bekerja sebagai mandor di sebuah ladang kelapa sawit di sini sejak dua tahun lalu.
“Anak-anak saya termasuk Wani sangat rapat dengan dia kerana rumah kami dengan Darik bersebelahan. Sebelum ini, Wani menetap bersama adik perempuan isteri saya di Kampung Sungai Sluang, Lunas dan bersekolah di Sekolah Menengah Lunas,” katanya.
Bagaimanapun, pada pertengahan Mei tahun lalu, Wani menetap bersama kami dan bersekolah di Padang Serai. Sejak itu, dia sering ke rumah lelaki berkenaan.
Kamsiah berkata, pada minggu kedua selepas kehilangan anaknya itu, sekali lagi Darik menghantar SMS kepada suaminya menyatakan mereka sudah berada di Tanjung Pinang, Indonesia.
“Saya tidak sangka lelaki yang rajin bekerja dan bersikap baik hingga dipanggil ustaz oleh penduduk di situ rupa-rupanya mempunyai niat jahat,” katanya.
Jaafar sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 17 November tahun lalu.
No comments:
Post a Comment