TAFF taja 42 pasangan dapat anak guna teknik IVF
2010/04/12
KUALA LUMPUR: Seramai 42 pasangan suami isteri yang sudah berkahwin antara enam hingga 22 tahun tetapi masih belum dikurniakan anak, mendapat penajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) untuk memperoleh zuriat menggunakan teknik persenyawaan tabung uji (IVF).Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar bertitah, 42 pasangan itu memohon mendapatkan tajaan TAFF pada 2007 dan selepas ini, pihaknya memberi tumpuan kepada 3,000 lagi permohonan sepanjang 2008 dan 2009 yang dihantar pasangan mengalami masalah sama.
“Setakat ini, 60 bayi TAFF sudah dilahirkan sejak program ini dilancarkan pada 2005,” titahnya di majlis penyerahan surat penajaan TAFF kepada semua pasangan terbabit, di sini, semalam.
Tunku Azizah bertitah, kesukaran pasangan memperoleh anak menyebabkannya sedih di atas sikap sesetengah anggota masyarakat yang bertindak sewenang-wenangnya membuang bayi dan mendera kanak-kanak hingga mati seperti dilaporkan akhbar sejak kebelakangan ini.
Berikutan itu, baginda bertitah, nilai moral dan agama perlu diterapkan dalam diri setiap masyarakat supaya masalah pembuangan bayi serta dera kanak-kanak tidak berterusan.
Sementara itu, penerima tajaan TAFF yang berjaya memperoleh anak kembar tahun lalu, Nor Hazlina Basiran, 36, berkata sukar menggambarkan perasaan gembiranya memiliki zuriat sendiri selepas 11 tahun berkahwin dengan Noor Azman Talib,40.
“Saya bersyukur mendapat tajaan TAFF dan bahagia dikurniakan pasangan kembar, Mohamad Hassan dan Mohamad Hussein, berusia setahun selepas menjalani rawatan IVF.
“Bagaimanapun, Mohamad Hussein meninggal dunia baru-baru ini akibat masalah kesihatan,” katanya yang menjadi antara enam pasangan berjaya mendapatkan anak hasil rawatan IVF dan menerima loket khas TAFF untuk bayi sebagai kenang-kenangan daripada baginda.
Nor Hazlina berkata, ketiadaan anak menyebabkan hidupnya tertekan hingga tidak suka bertemu orang ramai kerana enggan dibebani soalan bila akan memiliki zuriat.
No comments:
Post a Comment