Pasangan dicekup khalwat dedah sindiket kahwin palsu
2010/04/19
JITRA: Penahanan pasangan lelaki berusia 30 tahun dan remaja 16 tahun kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel murah di sini minggu lalu berjaya membongkar sindiket jurunikah palsu di Kedah yang menggunakan sijil nikah palsu Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).Ketika ditahan pada jam 11 malam 8 April lalu, pasangan berkenaan mendakwa majlis pernikahan diadakan di sebuah rumah di Lorong Tok Keramat, di sini dan memiliki surat nikah yang tertera pengesahan JAIPP.
“Kita kemudian memperoleh surat nikah dihantar seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai jurunikah berkenaan, tetapi tidak menahannya kerana tiada bukti kukuh dan kes masih dalam siasatan. Surat nikah itu diragui kerana tertera cap JAIPP sedangkan pernikahan berlangsung di negeri ini,” katanya.
Difahamkan, pasangan itu dinikahkan dengan berwali bapa pengantin perempuan berikutan pasangannya, seorang guru di sebuah pusat agama di daerah ini sudah beristeri dan mahu berpoligami tanpa diketahui isteri pertamanya.
Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 9(1) (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-dua sekali.
Lelaki itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 kerana berpoligami tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan didenda tidak melebihi RM500.
Sumber itu berkata, pihaknya difahamkan banyak kes kehilangan surat nikah dilaporkan di Pulau Pinang dan menyerahkan kes itu kepada JAIPP untuk siasatan.
Sementara itu, tinjauan di kawasan rumah yang dipercayai didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa, mendapati ia lengang dan bertutup rapat, tetapi dipercayai dihuni lebih 20 orang dan menempatkan ibu hamil dan kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment