Singgah rompak di tiga negeri Oleh Ibrahim Isaibrahim@hmetro.com.my
KLUANG: Seorang pemuda berusia 22 tahun layak digelar manusia dajal kerana kejahatannya yang merompak 21 rumah di tiga negeri, malah tergamak merogol seorang daripada mangsanya selain memperdayakan dua pelajar sekolah projek sukan negara, sebagai pemuas nafsu.Pemuda yang mempunyai rekod ditempatkan di sekolah pemulihan juvana Henry Gurney serta dibuang daerah mengikut Ordinan Darurat itu mengetuai kumpulan 10 penjenayah termasuk tiga wanita yang dikehendaki polis Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.Difahamkan, dalam satu kejadian rompakan awal bulan ini, anggota kumpulan berkenaan menyamun sebuah rumah di Bukit Baru, Melaka menggunakan Toyota Avanza sebelum meninggalkan kenderaan itu dan melarikan sebuah Proton Iswara bersama seorang wanita mangsa rompakan ke Nilai.Mangsa itu kemudian dirogol sebelum ditinggalkan di Nilai dan kumpulan berkenaan meneruskan kegiatan mereka dengan merompak sebuah rumah di Seremban diikuti rompakan seterusnya di sebuah rumah di Melaka, sebelum mereka pulang ke Kluang.
Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila penjenayah berbahaya itu serta anak buahnya ditahan dalam operasi khas sepasukan 12 anggota polis diketuai dua pegawai, yang menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Hang Tuah, Taman Muhibbah di sini, petang Isnin lalu.
Dalam serbuan kira-kira 5 petang itu, polis turut menyelamatkan dua pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) Kota Tinggi yang tinggal bersama penjenayah terbabit selepas dipercayai digula-gulakan dengan kemewahan yang dikutip hasil rompakan.Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata pasukan yang ditubuhkan khas bagi menjejak anggota kumpulan yang berasal dari Selangor itu mendapat maklumat orang ramai mengenai lokasi mereka di Taman Muhibbah.“Apabila tiba di rumah berkenaan, polis memperkenalkan diri dan mengetuk pintu sebanyak tiga kali sebelum mendengar bunyi orang di dalam rumah cuba melarikan diri.“Kami terpaksa menggunakan pemotong besi untuk memecah masuk rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan awal, menemui lima wanita berusia 15 hingga 25 tahun bersembunyi di rumah itu.“Ketika pegawai dan anggota sibuk menahan lima wanita itu, mereka terdengar bunyi pergerakan di atas siling dan pemeriksaan mendapati terdapat ahli kumpulan berkenaan yang cuba melarikan diri dengan bergerak ke rumah jiran menerusi siling rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kluang di sini, semalam.Menurutnya, pemeriksaan di siling membawa kepada penemuan tujuh lelaki berusia antara 15 hingga 25 tahun dan mendapati siling sudah diubah suai dan boleh pergi ke lima rumah jiran.Katanya, polis juga menemui sebuah Proton Iswara bersabit laporan hilang di Melaka Tengah dan sebuah BMW 318 bersabit laporan di Nusajaya.
No comments:
Post a Comment