AS desak Suu Kyi dibebaskan segera
WASHINGTON: China menggesa masyarakat antarabangsa menghormati keputusan mahkamah Myanmar yang mendapati pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi bersalah, manakala Amerika Syarikat mendesak beliau dibebaskan segera tanpa syarat.
Asean pula melafazkan ‘kehampaan mendalam’ terhadap penahanan terus ikon demokrasi itu ketika masyarakat antarabangsa untuk hari kedua berturut-turut mengecam Yangon di atas keputusan meletakkan Suu Kyi di bawah tahanan kediaman selama 18 bulan lagi.
Sementara itu, di YANGON, peguam Suu Kyi, Nyan Win, berkata anak guamnya akan merayu kerana tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah berkenaan kelmarin yang mendapati pemimpin pembangkang itu bersalah melindungi seorang lelaki warga Amerika Syarikat di kediamannya, Mei lalu.
Lelaki berkenaan, Johh Yettaw, 54, yang berenang menyeberangi tasik untuk memasuki kediaman Suu Kyi tanpa dipelawa, juga akan merayu hukuman tujuh tahun penjara dengan kerja berat yang dijatuhkan ke atas dirinya.
Jurucakap kementerian luar, China Jiang Yu, berkata dialog dan bukannya kecaman akan membantu Myanmar menuju ke arah demokrasi, pembangunan dan perpaduan.
“Kaedah itu bukan saja sejajar dengan kepentingan Myanmar, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Barack Obama dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pula menyatakan hukuman ke atas Suu Kyi itu adalah satu ketidakadilan.
“Saya bersama-sama masyarakat antarabangsa mendesak Aung San Suu Kyi dibebaskan segera tanpa syarat,” kata Obama dalam satu kenyataan.
“Keputusan tidak adil ini mengingatkan kita kepada nasib beribu-ribu lagi tahanan politik di Burma (nama lama Myanmar) yang seperti Aung San Suu Kyi dinafikan kebebasan semata-mata mahukan kerajaan yang menghormati keinginan, hak dan impian semua rakyat Burma,” kata Obama.
Clinton pula yang dalam rangka lawatan ke Afrika berkata, Suu Kyi sepatutnya tidak dibicarakan.
“Kami terus mendesak beliau dibebaskan,” kata Clinton.
Suu Kyi pada mulanya dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara dengan kerja keras, tetapi junta tentera meringankan hukuman kepada tahanan rumah selama 18 bulan.
Pengkritik berkata, dakwaan ke atas pemimpin pembangkang itu sengaja diada-adakan untuk menyekat Suu Kyi daripada menyertai pilihan raya dijadualkan tahun depan.
DI NEW YORK, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal mengeluarkan kenyataan segera mengecam Yangon berhubung isu berkenaan selepas China, Vietnam, Russia dan Libya meminta masa untuk merujuk kepada kerajaan masing-masing terlebih dulu. - AFP/Reuters
No comments:
Post a Comment