Usah takut salur maklumat
2010/02/04 KUALA LUMPUR: “Kita akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di semua kawasan yang didapati pernah ada kegiatan haram. Lagipun inilah prosedur kita selama ini untuk mengelak kegiatan sama berulang,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, yang mengulas mengenai kelab karaoke di Taman Maluri, Cheras, yang turut menyediakan khidmat seks kepada pelanggan.
Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan haram termasuk perbuatan pelacuran dan jenayah di sekitar kawasan berkenaan. “Orang ramai tidak perlu takut kerana kita (polis) akan merahsiakan identiti pemberi maklumat. Malah, keselamatan mereka juga akan dijamin.
“Berdasarkan maklumat, kita boleh melakukan siasatan dan serbuan ke atas mana-mana premis yang didapati melakukan kesalahan di sisi undang-undang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Abdul Rahim berkata, pihaknya mengamalkan sikap terbuka dan bersedia menerima pelbagai aduan, laporan mahupun cadangan daripada orang ramai. “Malah, kita cukup menghargai selain mengiktiraf individu yang berani tampil memberikan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan dalam membanteras kegiatan haram termasuk kegiatan pelacuran mahupun jenayah,” katanya.
No comments:
Post a Comment