Medan selera seks diserbu
2010/02/25 KUALA LUMPUR: Bimbang dicekup polis menyebabkan puluhan gadis pelacur atau ‘Bohsia China’ bertempiaran melarikan diri hingga ada yang sanggup menyorok di bawah meja makan sebaik menyedari sarang kegiatan mereka di Medan Selera Jalan Gelang off Jalan Sungai Besi di sini, diserbu semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam semalam, kebanyakan gadis pelacur terbabit terpinga-pinga yang sedang menunggu pelanggan terkejut dengan kehadiran lebih 20 anggota polis.
Difahamkan, akibat ketakutan dan tidak sempat menyusup lari, ada antara gadis terbabit sanggup menyorok di dapur medan selera selain duduk mencangkuk di bawah meja makan.
Dalam serbuan itu, 13 wanita warga China ditahan.
Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah berkata, pihaknya menyerbu pusat makanan itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti pelacuran yang berleluasa di kawasan itu.
“Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan risikan sebelum menahan 13 wanita warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada wanita ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan semua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut. Difahamkan, kebanyakan gadis terbabit gemar berpeleseran di kawasan medan selera berkenaan yang seolah-olah menjadi pusat tawar menawar untuk aktiviti pelacuran.
Kebiasaannya gadis terbabit tanpa segan silu akan mendekati dan duduk di sebelah pelanggan lelaki yang sedang menjamu selera sebelum menawarkan perkhidmatan seks.
Sebaik harga dipersetujui, pelacur terbabit akan membawa pelanggan ke rumah sewa berhampiran untuk melakukan hubungan seks.
Dalam gerakan berasingan jam 4.25 pagi hari sama, polis turut menyerbu sebuah disko terkenal di Desa Petaling di sini selepas dikesan menjadi pusat pengedaran pil khayal.
Razali berkata, dalam serbuan kedua itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan kerana membenarkan premis hiburannya beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan.
“Lelaki yang bertugas sebagai penjaga pusat hiburan itu ditahan kerana membuka perniagaan melebihi masa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Difahamkan, ketika serbuan ada antara pengunjung lelaki dikesan cuba menyembunyikan diri di atas siling tandas selain turut menjadikan bahagian atas saluran udara untuk menyembunyikan diri.
No comments:
Post a Comment