Remaja hilang dipercayai di Langkawi
2010/03/30
NORMAH mengedarkan risalah gambar anaknya yang hilang sejak seminggu lalu di sekitar pekan Baling, semalam.
NORMAH mengedarkan risalah gambar anaknya yang hilang sejak seminggu lalu di sekitar pekan Baling, semalam.
LANGKAWI: Halimaton Abd Rashid, 15, pelajar pintar yang dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak seminggu lalu dipercayai berada di sini, bersama teman lelakinya yang dikenali sebagai Adam.
Seorang pembaca akhbar ini, berkata dia ternampak pelajar berkenaan bersama teman lelakinya itu menaiki feri dari Kuala Kedah ke Langkawi kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
Katanya, dia mengecam wajah Halimaton berdasarkan gambar pelajar itu yang disiarkan akhbar ini pada Sabtu lalu.
"Saya menaiki feri yang sama dengan pasangan itu, tetapi tidak tahu ke mana haluan mereka seterusnya," katanya ketika menghubungi akhbar ini.
Berita Harian Sabtu lalu melaporkan, Halimaton yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007 didapati hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani dipercayai dilarikan orang tidak dikenali.
Sementara itu, seorang rakan karib Halimaton, mengakui melihat perubahan sikap remaja itu yang agak pendiam dan murung sejak beberapa minggu sebelum hilang.
Nur Samihah Abdul Ghani, 15, berkata Halimaton yang dikenali sejak berusia empat tahun adalah remaja periang selain memiliki rekod cemerlang dalam akademik dan kurikulum.
Katanya, hubungannya dengan Halimaton umpama adik beradik kerana rumah mereka kurang 20 meter di Kampung Lanai, Baling dan mereka sering berkongsi masalah peribadi dan pelajaran.
"Sejak mempunyai teman lelaki lebih empat bulan lalu, perwatakannya berubah dan dia lebih ceria serta telefon bimbit tidak pernah lekang dari tangannya kerana selalu berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Dia pernah menyatakan hasrat mahu berkahwin dengan teman lelakinya itu selepas tamat sekolah kerana tidak mahu kecewakan ibunya.
"Namun, seminggu sebelum cuti sekolah baru-baru ini, sikapnya berubah dan dia kelihatan murung dan pendiam," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Ibu Halimaton, Normah Abdul Mutalib, berkata, dia serta anak keduanya, Hamiza, 23, sudah membuat salinan poster kehilangan anak bongsunya lebih 1,000 untuk diedarkan di sekitar daerah ini dan Sungai Petani.
"Sejak dia hilang saya sangat tertekan dan berdoa kepada Allah agar melembutkan hatinya kembali ke pangkuan keluarga. Jika benar dia sudah berkahwin, saya akan memaafkannya dan boleh menerima Adam sebagai menantu tetapi yang penting saya mahu dia pulang," katanya.
No comments:
Post a Comment