
Sultanah Johor bantu budak
2010/03/14
JOHOR BAHRU: Derita seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang memerlukan bantuan wang RM3,000 untuk menampung kos pembedahan di dahi yang cedera akibat kemalangan, berakhir selepas menerima bantuan daripada isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris.
Nurul Nisa Nadhirah Mohd Zhaharuddin terbabit dalam kemalangan bersama kakaknya, Nurul Aina Alisya, 3, dan ayahnya Mohd Zhaharuddin Harun, 32, pada 28 Februari lalu. Ini menyebabkannya terlantar di Hospital Sultanah Aminah dan hanya menunggu pembedahan meletakkan kepingan gentian di bahagian dahinya yang cedera.
Ibunya, Norzalina Abdul Rahman, 31, berkata, disebabkan keluarganya tidak mampu menyediakan wang RM3,000 untuk membeli gentian itu, Nurul Nisa terpaksa menanti hampir tiga minggu dengan mata kirinya sukar dibuka akibat kecederaan itu. “Pembedahan membuang darah beku pada kepalanya sudah dijalankan tetapi dia memerlukan pembedahan untuk memasukkan alat berkenaan kerana ada keretakan di dahinya dan pihak hospital tidak memiliki alat itu yang terpaksa dibeli di luar,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya tidak mampu menyediakan wang berkenaan walaupun Angkatan Tentera Malaysia akan menggantikan semula wang berkenaan memandangkan suaminya adalah seorang anggota tentera di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Kota Tinggi.
Katanya, Nurul Nisa ditempatkan di HSA sehingga keluarganya dapat menyediakan wang berkenaan dan itu amat menyukarkan mereka apatah lagi suami dan anaknya juga mengalami kemalangan dan dia terpaksa berulang-alik dari Kota Tinggi untuk melihat keadaan keluarganya di Johor Bahru.
Suaminya, Mohd Zhaharuddin, berkata kemalangan berkenaan berlaku apabila dia terbabas ketika menunggang motosikal bersama dua anaknya itu.
“Saya sudah pening kepala memikirkan bagaimana hendak mencari duit bagi membiayai pembedahan itu. Jika saya seorang mungkin boleh diusahakan dengan bantuan ATM tetapi apa yang saya tahu, kes anak saya agak berat dan saya terpaksa mencari wang untuk membayarnya terlebih dulu,” katanya.
Bagaimanapun kehadiran Raja Zarith Sofiah yang melawat tiga kanak-kanak terbabit dalam tragedi serangan di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) di Muar, kelmarin, jelas memberi sedikit harapan dan rasa ceria buat keluarga terbabit.
Baginda yang sempat meluangkan masa melihat keadaan Nurul Nisa, kemudian menghulurkan bantuan bagi mempercepatkan pembedahan itu.
Norzalina berkata, Raja Zarith Sofiah ada bertanyakan mengenai anaknya itu sebelum menitahkan bantuan segera diberikan supaya anaknya dapat segera dibedah.
“Saya amat bersyukur dengan bantuan diberikan, dengan bantuan itu anak saya boleh dibedah segera dan kembali ke rumah,” katanya.

1 comment:
serius lawak ko ni....pandangan aku la...ko memang gila...ni mesti produk hospital bahagia ni....
Post a Comment