Saturday, March 27, 2010

mereka boleh p ipts belajar bidang kritikal dengan bantuan mara tapi tulah meLAYU tak habis2 gara2 didoakan sedemikan, kesian... tiada siapa bangkang.

Minda: Perlu rangsangan minat


2010/03/27
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

FENOMENA kurangnya pelajar Bumiputera dalam bidang kritikal khususnya pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) wajar mendapat perhatian semua pihak termasuk pemimpin politik, ibu bapa dan guru bagi mengatasi masalah ini.
Kekurangan bilangan pelajar ini jelas dalam bidang kritikal iaitu bidang perubatan dan kejuruteraan. Hal ini penting bagi pembangunan bangsa Melayu dan negara dapat diseimbangkan dalam tempoh jangka panjang.


Walaupun, tiada kajian terperinci tentang bilangan pelajar Bumiputera khususnya pelajar Melayu di IPTA dan IPTS, tetapi hakikatnya haruslah diterima. Perkara ini telah disuarakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di majlis meraikan 82 pelajar perubatan tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Universiti Al-Azhar, Mesir baru-baru ini.


Menurut Tun Dr Mahathir, kemasukan pelajar Melayu dalam bidang kritikal ke institusi pengajian tinggi (IPT) semakin berkurang di universiti tempatan berbanding kaum lain sejak kebelakangan ini.


Bekas Perdana Menteri itu mengaitkan fenomena itu dengan perpecahan orang Melayu yang akan mengakibatkan kerajaan menjadi lemah sehingga terpaksa akur kepada pelbagai tuntutan.


Menurut beliau, ini termasuk soal dasar meningkatkan peluang pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke IPTA yang tidak dapat dikekalkan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pada sesuatu masa jumlah pelajar di IPTA juga hampir sama dengan pelajar di universiti swasta dan masalah jurang pelajar Melayu dengan kaum lain semakin melebar apabila universiti swasta tidak mempunyai sebarang kawalan dalam membuat pengambilan pelajarnya.


Dalam hal ini, negara akan berdepan dilema ketandusan profesional Melayu terutama dalam bidang perubatan dan kejuruteraan jika tindakan segera tidak diambil untuk tempoh jangka panjang. Ini akan menjejaskan usaha membangunkan bangsa Melayu dan negara pada masa akan datang Hal ini juga dikatakan berlaku sejak 10 tahun lalu apabila sistem meritokrasi diperkenalkan pada awal 1999. Keadaan ini berterusan sehingga kini terutama dalam bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan.


Selain itu, pertambahan bilangan IPTS juga menjadi faktor pelajar Melayu tidak dapat bersaing untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kritikal disebabkan masalah kewangan. Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin yang mengulas perkara ini mengakui jumlah pelajar Melayu dalam bidang kritikal di IPTA agak rendah berbanding kaum lain di negara ini.


Bagaimanapun, katanya, bilangan pelajar Melayu semakin meningkat di IPTA, tetapi kebanyakannya tertumpu dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.


Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan itu bagi memastikan bilangan pelajar Melayu dapat diimbangi dengan kaum lain secara berperingkat.

Menurutnya, walaupun pelajar Melayu tidak menguasai bidang kritikal, tetapi peluang pekerjaan masih luas untuk mereka yang berkemahiran dalam bidang tertentu.


Bagaimanapun, kerajaan harus memandang serius perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi menggalakkan pelajar Melayu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, sains dan teknologi, kejuruteraan dan alam bina.


Usaha ini harus dilakukan seawal peringkat sekolah menengah terutama bagi pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang agak baik kelulusannya digalakkan memasuki tingkatan empat aliran sains.


Galakan ibu bapa dan guru juga akan merangsang minat pelajar mengambil jurusan sains dengan menumpukan bidang kimia, fizik, biologi dan matematik sebagai mata pelajaran tumpuan utama di sekolah menengah. Asas dan minat yang kukuh juga mesti ditanam dalam diri pelajar sejak di sekolah rendah lagi.


Penerangan yang jelas amat penting kepada pelajar di peringkat ini bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan serta hala tuju ke arah mencapai cita-cita mereka. Bidang kursus kritikal di peringkat universiti wajar didedahkan kepada pelajar dengan tepat dan berkesan ketika mereka memilih bidang atau jurusan di tingkatan empat.


Langkah proaktif semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberikan penerangan jelas dan galakan secara intensif mampu memacu pembentukan modal insan cemerlang dan berupaya meneroka bidang kursus kritikal di peringkat universiti.


Guru umpama penyuluh kepada pelajar bagi memberi panduan serta bimbingan kepada pelajar terutama dalam memilih bidang yang menjamin masa depan mereka. Jangan hanya menumpukan minat dalam bidang tertentu yang akhirnya menyebabkan kurangnya pelajar Melayu dalam bidang kritikal di universiti.


Justeru, pengaruh guru akan membawa perubahan sikap yang positif di kalangan pelajar Melayu untuk bersaing dalam bidang sains dan teknologi serta mengambil bidang kursus kritikal di universiti. Peranan guru di sekolah amat besar ke arah perubahan sikap pelajar di sekolah menengah.


Apabila pelajar ini lulus cemerlang dalam subjek berkenaan dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka dengan mudah akan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau di peringkat diploma di universiti.


Di peringkat universiti, pelajar ini akan mampu bersaing dan tentunya dapat mengikuti bidang kritikal dengan mudah apabila asas mereka kukuh dalam bidang sains dan matematik.


Falsafah kebanyakan universiti, baik IPTA atau IPTS bertujuan melahirkan siswazah serba boleh, pragmatik dan kreatif di samping menyumbang idea untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat.


Manfaatnya, jika usaha ini berjaya dan dapat diatasi akan berlakulah keseimbangan bilangan pelajar Melayu dalam bidang kritikal di universiti dengan pelajar daripada kaum lain. Sesungguhnya mereka ini akan menyumbang ilmu pengetahuan dan kepakaran untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat pada masa akan datang.


Penulis ialah penulis bebas berkelulusan PhD Persuratan Melayu UKMM

No comments:

Post a Comment