Monday, March 29, 2010

ok, next time jangan tak hebahkan pulak lagi...

Sukarelawan wajar hebah aktiviti bantu masyarakat
Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my
2010/03/29
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Sukarelawan yang menjalankan sebarang khidmat masyarakat seharusnya memberitahu orang ramai wujudnya program dilaksanakan itu dan sekurang-kurangnya dapat menarik perhatian pihak berkemampuan membantu mengisi dana yang diperlukan.
Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar, berkata banyak pihak sebenarnya yang sanggup membantu terutama dari segi kewangan cuma kurangnya maklumat mengenai aktiviti atau program yang dilaksanakan menyebabkan badan sukarelawan sukar mendapatkan dana. “Memang ada sukarelawan yang `malu' untuk menghebahkan aktiviti kerana menganggap kerja amal tidak wajar dihebohkan tetapi hakikatnya ia perlu diberitahu kepada masyarakat terutamanya mengenai masalah yang dihadapi di sekeliling kita ini. “Sebab itu saya berpendapat sebaiknya kita dapat memberi maklumat kepada masyarakat, bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi bertujuan untuk membantu pihak yang memerlukan itu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Hi-tea Amal Sehati Serumpun 2.0 anjuran Kolej Mara Banting sempena program khidmat masyarakat ke Bangkok Patana School, Thailand dan Koh Kong, Kemboja, di sini, petang kelmarin. Hadir di majlis itu adalah Pengarah Kolej Mara Banting, Dr Syed Anwar Mohamed Abu Bakar dan Pengurus Projek, Hamidi Abdul Aziz. Turut diraikan pada majlis itu adalah kira-kira 40 anak yatim dan ibu tunggal dari Kampung Medan, Petaling Jaya. Mustapa berkata, semangat sukarelawan sewajarnya diterapkan kepada golongan remaja dan belia agar mereka sedar tidak semua manusia bernasib baik dan memerlukan bantuan.


Katanya, tambahan pula jika semangat sebegitu dapat didik pada peringkat usia muda pastinya usaha untuk membantu golongan memerlukan berterusan walaupun mereka sudah bekerja di kemudian hari. “Sebab itu saya amat berbangga dengan usaha yang dijalankan oleh pelajar Kolej Mara Banting ini yang prihatin dan sedar akan tanggungjawab mereka kepada golongan memerlukan itu. “Saya berharap semangat sebegini dapat diteruskan sampai bila-bila tidak kira di mana mereka bekerja selepas ini. Saya juga berharap badan sukarela ini dapat membantu pihak yang memerlukan di dalam negara ini terutamanya di luar kawasan Lembah Klang kerana masih ramai lagi yang nasibnya tidak terbela,” katanya.


Projek Sehati Serumpun yang dicetuskan pelajar tahun pertama Kejuruteraan Kolej Mara Banting diadakan bertujuan membantu penduduk susah dan terpinggir.


Khidmat masyarakat yang dirancang itu membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Kemboja serta terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama di Felda Kemasul, Pahang sudah berjaya dilaksanakan pada 12 hingga 14 Mac lalu, dengan diadakan pelbagai aktiviti termasuk Program Skor A, kem motivasi, tips menjawab soalan peperiksaan dan mencari harta karun. Bagi fasa kedua dan ketiga iaitu Thailand dan Kemboja pula dijangka dapat dilaksanakan pada Disember depan, dengan perancangan untuk menjalinkan hubungan kerjasama antara pelajar Kolej Mara Banting bersama Bangkok Patana School dan juga membantu mengumpul dana bagi pembinaan masjid serta penyediaan sistem penapisan air di Koh Kong.


Hamidi berkata, projek berkenaan dirancang dengan hasrat untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Menurutnya, ia juga bertujuan bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kerana pihaknya mendapati ramai penduduk di kawasan luar bandar agak terpinggir.


“Sebab itu, kami yang agak bertuah dari segi pendidikan dengan mendapat kecemerlangan serta mempunyai kemampuan berasa amat terpanggil bagi membantu mereka di luar bandar seperti Felda Kemasul serta Koh Kong itu.


“Saya berharap ada pihak tampil menyokong program kami ini dan sudi menghulurkan sumbangan kerana dana yang perlu dikumpulkan agak besar terutamanya bagi membiayai pembinaan masjid di Koh Kong, ia bukan saja menjadi pusat ibadat penduduk setempat tetapi menjadi pusat pendidikan yang ketika ini dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment