2010/04/27
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PETALING JAYA: “Umpama gempa bumi. Jalan di hadapan saya tiba-tiba meletup dan membuakkan serpihan batu, pasir dan air. Saya terasa hentakan kuat sebelum kereta berpusing,” kata Mathew Rose, 20-an.
Dia antara tiga mangsa cedera termasuk seorang parah membabitkan tiga kenderaan melambung dalam kejadian laluan di Jalan Universiti menghala Lebuhraya Persekutuan, di sini, semalam yang meletup secara tiba-tiba akibat paip bawah tanah bersaiz 1.8 meter pecah.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, tiga lelaki masing-masing memandu kereta jenis Honda City, Proton Saga dan Nissan Sunny dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat cedera.
Mathew yang cedera ringan di muka dan tangan enggan ditemubual lebih lanjut berikutan masih trauma.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian jam 4.43 petang.
“Susulan itu, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Pantai bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Sejurus tiba, pihak kami dapati ada tiga kenderaan rosak teruk termasuk satu kereta Honda City terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas di pembahagi jalan.
“Kereta terbabit diterbalikkan semula dengan bantuan orang ramai sebelum pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dikenali Lye Jenn Siang berusia 27 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Katanya, mangsa kedua dikeluarkan ialah pemandu kereta Proton Saga yang mendapat cedera ringan.
Menurutnya, seorang lagi mangsa memandu Nissan Sunny masih belum dikenal pasti mendapat kecederaan parah dikejarkan ke PPUM oleh orang ramai.
Azizan berkata, siasatan awal mendapati kejadian terbabit berlaku apabila paip bawah tanah bersaiz 1.8 meter pecah ketika pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja pengujian tekanan.
“Pihak kami difahamkan, pengujian tekanan itu sepatutnya sehingga 24 bar, bagaimana baru sampai 16 bar, paip itu meletup sebelum memecahkan laluan jalan raya di atasnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment