9 jaga haram parkir dicekup
2010/03/13
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Seramai sembilan orang ditahan dalam Operasi Jaga Kereta/Motosikal yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memantau kegiatan penjaga haram parkir di sekitar pusat bandar, malam kelmarin.
Operasi siri ke-15 bagi 2010 itu diketuai Ketua Inspektor Azmin Ali dari Bahagian Operasi Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL dan disertai dua pasukan terdiri 20 anggota penguat kuasa DBKL.
Azmin berkata, lima daripada mereka ditahan di Jalan Sultan Ismail manakala seorang masing-masing ditahan di Jalan Fatimah, Masjid India; Jalan Lumut, Kompleks Damai dan Jalan Persiaran Hempshire, Jalan Berangan, Bukit Bintang.
Beliau berkata, semua mereka ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan memungut upah dengan menjaga parkir haram.
“Cara operasi dijalankan adalah dengan memerhatikan dari jauh gerak-geri penjaga tempat letak kereta secara haram dan sejurus menerima imbuhan, tangkapan akan dibuat.
“Semua mereka juga akan didakwa di mahkamah dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan mengarahkan mana-mana orang meletak kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Operasi selama enam jam itu turut dibantu Inspektor Kanan Mohd Nasir Md Ali dan Pembantu Undang-Undang merangkap Pegawai Pendakwa DBKL, Mohd Irwan Mat.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM4,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Azmin berkata, operasi kelmarin mensasarkan kawasan pusat bandar dan tumpuan antaranya Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit, Bukit Bintang, Bangsar, Brickfields, Damansara dan Sri Hartamas, termasuk kawasan tempat letak kereta awam yang disediakan DBKL.
No comments:
Post a Comment