Media perlu didik masyarakat
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2010/03/20
LAT menerima Anugerah NPC-Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin 1Malaysia daripada Najib sambil diperhatikan SM Nasaruddin (dua dari kiri) dan Ahirudin pada Majlis Anugerah Kelab Wartawan Kebangsaan di Kuala Lumpur, malam tadi.
LAT menerima Anugerah NPC-Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin 1Malaysia daripada Najib sambil diperhatikan SM Nasaruddin (dua dari kiri) dan Ahirudin pada Majlis Anugerah Kelab Wartawan Kebangsaan di Kuala Lumpur, malam tadi.
PM mahu wartawan main peranan penting jayakan transformasi negara
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu pengamal media menjadi rakan kongsi kerajaan dalam usaha untuk transformasi Malaysia ke arah sebuah negara yang harmoni dan sejahtera.
Perdana Menteri berkata, media mempunyai peranan besar dalam mendidik masyarakat, sekali gus memenuhi tanggungjawab sosial pada negara.
"Bagi saya, wujud hubungan simbiotik antara media dan kerajaan yang dilihat begitu kritikal untuk perkembangan dan pembangunan masa depan negara. "Media perlu melaporkan agenda kerajaan, seperti kerajaan memerlukan media untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat," katanya ketika merasmikan malam Anugerah Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC)-Naza, di sini, malam tadi.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad A Talib yang juga merangkap Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad; Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid.
Perdana Menteri berkata, beliau percaya media perlu memainkan peranan penting terhadap pembangunan negara selaras gagasan 1Malaysia seperti tanggungjawab mereka untuk memastikan akhbar laris di pasaran dengan berita yang sensasi.
Sebagai contoh, Najib berkata, media perlu menjelaskan kepada masyarakat mengenai subsidi kira-kira RM73 bilion yang terpaksa diperuntukkan oleh kerajaan setiap tahun supaya masyarakat lebih memahami kekangan semasa.
"Bagi saya, wujud hubungan simbiotik antara media dan kerajaan yang dilihat begitu kritikal untuk perkembangan dan pembangunan masa depan negara"
Najib Razak
Perdana Menteri
Beliau berkata, walaupun media perlu melaporkan berita sensasi untuk melariskan akhbar, ia perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan kebenaran.
"Saya percaya peranan wartawan bukan sekadar melapor, sebaliknya perlu cuba mendidik masyarakat," katanya.
Najib berkata, organisasi media arus perdana mempunyai standard kebertanggungjawaban terhadap apa yang dilaporkan, menyedari statusnya sebagai media yang dihormati.
Katanya, dakwaan mengatakan bahawa media di negara ini tidak bebas adalah tidak benar kerana pembangkang masih diberi liputan baik seperti laporan yang mengkritik kerajaan.
"Saya selalu berpandangan bahawa kebebasan tanpa tanggungjawab bukan kebebasan sebenarnya. Saya percaya media di dunia boleh mengambil sedikit pengajaran daripada media Malaysia yang tidak menceroboh kehidupan peribadi individu," katanya.
Sementara itu, Najib menyampaikan tujuh anugerah NPC-Naza. Anugerah NPC-Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin 1Malaysia diberikan kepada Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.
Anugerah NPC-AmBank Media Legend dimenangi Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail; NPC-Wartawan Scomi dimenangi P Gunasegaran (The Star) dan Mohd Zaini Hassan (Utusan Malaysia). Anugerah NPC-Celcom Axiata Rookie (pasukan Bernama TV), Anugerah NPC-TM Pencapaian Seumur Hidup (Datuk V K Chin) dan Anugerah NPC-TM Media Baru dimenangi Kugan Kathegesen.
No comments:
Post a Comment