2010/04/24
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MELAKA: Hanya kerana sudah mengandung anak luar nikah dua tahun lalu, sepasang kekasih sanggup mengambil jalan mudah dengan bersekedudukan sehingga anak dikandung wanita itu dilahirkan.
Tanpa memikirkan dosa, pasangan terbabit terus tinggal sebumbung di sebuah rumah sewa di Duyong, dekat sini, selepas wanita berkenaan melahirkan anak.
Kehadiran pasangan itu yang tinggal di kawasan kampung berkenaan sebelum ini tidak menimbulkan syak di di kalangan penduduk tetapi selepas anak lelaki tidak sah taraf pasangan terbabit genap setahun kelmarin, mereka dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 10 pagi.
Serbuan itu bukan saja membongkar pasangan terbabit yang masing-masing berusia 24 tahun itu sudah mempunyai anak luar nikah, malah wanita itu juga kini hamil lima bulan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan dilakukan pasukannya selepas menerima aduan.
Menurutnya, ketika diserbu pasangan itu sedang bermain dengan kanak-kanak berusia setahun itu dalam rumah berkenaan.
“Siasatan mendapati kedua-dua pasangan terbabit masih belum mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama sejak hampir dua tahun lalu.
“Pasangan berkenaan juga mengaku budak lelaki terbabit serta bayi yang dikandung sekarang adalah hasil hubungan tanpa pernikahan,” katanya, di sini, semalam.
Rahimin berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit menyewa rumah itu sebagai tempat perlindungan kepada wanita terbabit yang juga seorang ibu tunggal.
Katanya, wanita berkenaan adalah ibu tunggal yang mempunyai tiga anak dengan bekas suaminya sebelum ini dan mereka kini dijaga keluarga angkat.
No comments:
Post a Comment