Bella mula hidup baru kerja di kafe
2010/04/27
KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, yang mendapat liputan meluas pihak media selepas dibawa pulang ke tanah air sejak melarikan diri ke Lombok hampir tujuh bulan lalu, kini memulakan kehidupan baru dengan bekerja sebagai pembantu di kafe siber.
Salsabila atau dikenali sebagai Bella yang kini sarat mengandung tujuh bulan nekad bekerja bagi menambah pendapatan untuk menyambut kelahiran anak sulungnya dua bulan lagi, selain terpaksa membantu ayahnya yang berdepan masalah kesihatan.
Katanya, biarpun sarat mengandung dan kadang kala mengalami alahan, namun semangat memulakan hidup baru amat kuat bagi memastikan anak sulung yang dinanti-nantikan hidup dalam keadaan terjamin.
“Saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pembantu di siber kafe dekat Wangsa Maju, awal bulan lalu selepas memikirkan nasib anak sulung tanpa kehadiran suami sebaik dilahirkan nanti.
“Justeru, walaupun gaji yang diberikan tidak lumayan, ia sedikit sebanyak membantu saya membuat simpanan membeli barang keperluan bayi nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Bella sebelum ini dilaporkan dilarikan seorang lelaki berasal dari Lombok, Hafiz Sukma, 26, pada 7 Ogos lalu sebelum dipaksa berkahwin dengannya di sana, sebelum dibawa pulang atas inisiatif Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dengan kerjasama Wisma Putra.
Bella yang enggan mengulas konflik keluarga dengan suaminya, berkata setiap insan memerlukan kehidupan lengkap dan bahagia, namun bukan semua yang mampu memperoleh impian seperti itu.
“Saya juga memerlukan suami di sisi, terutama ketika melahirkan anak sulung, namun jika permintaan itu tidak dapat ditunaikan, saya reda dan yakin ada hikmah dugaan yang menimpa,” katanya.
“Kehidupan saya kini sangat bermakna dan tidak sabar menunggu detik kelahiran bayi sulung untuk merasai perasaan sebenar bergelar ibu. Apa yang saya harapkan, bayi yang bakal lahir pada Jun ini diberi kesihatan yang baik,” katanya.
Katanya, hubungan dengan suaminya Hafiz masih baik dan sering berhubung melalui telefon bagi mengetahui perkembangan terbaru diri masing-masing.
“Saya sentiasa ingat dia suami saya dan mungkin selepas melahirkan anak sulung, saya akan membawa bayi ini bertemu ayahnya di Lombok sekiranya tujuan itu mendapat restu ayah dan kakak,” katanya.