2 pengarah bersubahat keluar wang Tabung Haji
Oleh Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Dua pengarah Metrowangsa Asset Management Sdn Bhd (MAM) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan bersubahat mengeluarkan RM50 juta daripada akaun amanah Lembaga Tabung Haji, lapan tahun lalu.
Hakim Rosenani Abd Rahman b menetapkan 7 April ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Pengarah Urusan MAM, Dr Ghazali Atan dan Pengarah Eksekutifnya, Mohamed Abdul Wahab.
Dalam penghakimannya, Rosenani berkata, berdasarkan keterangan saksi, pihak pendakwaan membuktikan ada elemen pengeluaran wang sebanyak RM50 juta daripada Tabung Haji dan wang berkenaan dibayar kepada Mimos Bhd.
Katanya, pendakwaan juga berjaya membuktikan Mimos bukan pihak yang berhak menerima wang itu dan kedua-dua tertuduh bersubahat dengan MAM untuk mengeluarkan wang Tabung Haji.
Ghazali dan Mohamed, kedua-duanya berusia 58 tahun, didakwa bersubahat mengeluarkan RM50 juta daripada akaun amanah Tabung Haji yang diselenggarakan MAM di Malayan Banking, Jalan Tun Perak bagi pembayaran kepada Mimos Bhd, pihak yang tidak berhak ke atas wang berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di C12A-1&2, Jalan Selaman 1, Palm Square, Ampang antara 18 April hingga 24 Mei 2001. Mereka dituduh mengikut Seksyen 47C(5) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) yang dibaca bersama Seksyen 122C(c) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM500,000 mengikut Seksyen 47C(9)(a) akta sama.
Mohamed juga menghadapi dua lagi tuduhan, iaitu secara sedar membenarkan satu pernyataan mengelirukan dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 13 Januari 2001 dan 19 Julai 2001 di pejabat SC di Pesiaran Bukit Kiara di sini.
Bagaimanapun, bagi kedua-dua tuduhan itu dia dibebaskan dan dilepaskan selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menunjukkan keraguan yang munasabah berikutan laporan audit yang dikeluarkan SC tidak menunjukkan sebarang laporan negatif.
No comments:
Post a Comment