
Gila panjat bangunan
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Memanjat bangunan adalah minat, hidup dan kegilaan saya,” kata ‘Spiderman’ warga Perancis yang menggemparkan ibu negara selepas memanjat Menara Berkembar Petronas (KLCC) tanpa kebenaran, Selasa lalu.
Alain Robert Philippe, 47, yang kelihatan keletihan, berkata demikian kepada wartawan selepas membayar denda RM2,000 yang diperintahkan Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah menceroboh bangunan tertinggi di Malaysia itu.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.
Berdasarkan pertuduhan, Philippe didakwa melakukan pencerobohan jenayah terhadap bangunan KLCC, di Menara 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Jalan Ampang, dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi, 1 September 2009.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamad manakala Philippe diwakili peguam KK Wong.
Terdahulu, ketika membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman terhadap anak guamnya, Wong memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman tinggi terhadap Philippe kerana lelaki itu hanya melakukan aktiviti yang dicintainya dan berjanji tidak memanjat bangunan di Malaysia lagi.
“Tertuduh tidak mengaut sebarang keuntungan atau publisiti daripada aktiviti memanjat bangunan. Philippe berbuat demikian semata-mata kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti berkenaan walaupun menghidap 60 peratus penyakit kurang upaya,” katanya.
Wong turut menjelaskan lelaki Perancis yang mempunyai tiga anak itu banyak melakukan program amal bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengutip derma membantu golongan memerlukan.
Philippe yang dijadualkan pulang ke Paris pada 7 September ini, bercadang memanjat bangunan yang tertinggi di Dubai.
Kelmarin, akhbar melaporkan selepas tiga kali mencuba, akhirnya Philippe atau lebih dikenali ‘Spiderman’ menamatkan misinya memanjat menara KLCC tanpa disedari warga kota dan pihak berkuasa.
Memulakan pendakian pada jam 6 pagi, Robert, yang berpakaian hitam turut mengenakan logo ‘1 Malaysia’ pada seluar bahagian paha kanannya.
Tepat jam 7.45 pagi, Robert berjaya tiba di kemuncak menara berkembar itu sekali gus melangsaikan ‘hutang’ dua kali cubaan yang gagal dilunaskan sebelum ini.
Jurugambar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berjaya merakamkan beberapa aksi berani mati Robert yang selamba berdiri tanpa sebarang alat sokongan, malah turut menunjukkan dengan bangga logo ‘1 Malaysia’.
No comments:
Post a Comment