Keputusan Sultan Pahang tidak salah
2010/04/03
KUALA LUMPUR: Keputusan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menggantikan hukuman enam sebatan syarie terhadap bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 33, kerana minum arak kepada menjalani khidmat masyarakat, tidak menyalahi hukum Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, berkata sebatan syarie yang dijatuhkan kepada Kartika Sari itu hanyalah hukuman takzir (menakutkan) dan bukan qisas (pembalasan). Perlu diingat, enam sebatan itu bukan qisas tetapi hanya takzir. Bermakna ia boleh diubah dan tidak salah dari segi hukum Islam. Tetapi jika hukuman qisas, tidak boleh diubah iaitu wajib dikenakan 80 sebatan. Hukuman qisas, yang ini sesiapa pun sama ada ketua agama atau ketua negara tidak boleh ubah kerana ia hukum syarak, katanya ketika dihubungi bagi mengulas keputusan itu, semalam.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, Sultan Pahang, selaku ketua agama mempunyai kuasa untuk menentukan bentuk hukuman mengikut budi bicara baginda.
Memang tidak ada peruntukan (bagi menggantikan hukuman sebat dengan khidmat kemasyarakatan) dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 tetapi Sultan Pahang di atas sifatnya sebagai ketua agama dan pemerintah mempunyai kuasa berbuat demikian.
Malah dalam enakmen berkenaan pesalah boleh dikenakan tindakan jika gagal mematuhi perintah hukuman yang ditetapkan, katanya.
Sementara itu, pakar undang-undang, Prof Madya Rohimi Shapiee berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan dibuat Sultan Pahang kerana baginda sudah tentu mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pakar agama serta perundangan.
Mengikut undang-undang sekular pun, jika pihak pemerintah sudah membuat keputusan, ia seharusnya tidak menimbulkan masalah. Dalam hal ini, sultan yang mewakili institusi agama negeri dan rakyat perlu memberi kepercayaan terhadap keputusan sultan, katanya.
Bagaimanapun, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dalam kenyataan medianya dukacita dengan arahan itu kerana menganggap ia tidak mengambil kira hasrat dan kehendak Kartika Sari yang sebelum ini mahu disebat secara syarie atas kesalahannya.
Setiausaha Agungnya, Abdul Halim Bahari, berkata PPMM khuatir titah perintah ini tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang.
Walaupun bertindak selaku ketua agama Islam negeri, Sultan Pahang seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi mahkamah syariah, katanya
































No comments:
Post a Comment