
Minda: Pendidikaan seks perlu berlandas ajaran
2010/03/31
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SECARA umumnya golongan remaja sering dikaitkan dengan pergaulan bebas tanpa batasan.
Kesan buruk daripada pergaulan bebas ini dapat dilihat apabila bertambahnya kadar kelahiran bayi luar nikah dan kes pembuangan bayi membabitkan golongan berkenaan.
Dalam hal ini, kecenderungan remaja pada seks atau perlakuan bebas dikaitkan dengan pengaruh media massa dan pengaruh unsur lucah atau budaya kuning yang sering terpapar terutama melalui majalah, Internet atau VCD lucah.
Pengaruh VCD lucah dan budaya masyarakat Barat yang menyerang masuk bertentangan dengan budaya dan agama Islam yang menitikberatkan soal kesopanan dan akhlak. Selain itu, pendidikan agama, akhlak dan moral di kalangan remaja semakin rapuh dan terpinggir.
Dalam hal ini, bagi mengatasi masalah berkenaan, pendidikan seks akan dikaji untuk diajar di sekolah. Satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung polisi pendidikan seks di sekolah. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai pakar bidang pendidikan seks, biologi dan hal berkaitan yang akan mengkaji kurikulum berkaitan pendidikan berkenaan dengan teliti.
“Mungkin kita boleh mengambil sedikit contoh daripada apa yang berlaku di beberapa negara yang sudah memperkenalkan polisi ini dan daripada pakar di kementerian,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan di Sekolah di Parlimen, baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, isu pendidikan seks di sekolah sudah dibincangkan banyak pihak, cuma kementerian belum membuat keputusan kerana ‘kita faham ia suatu perkara agak besar dan perlu diperhalusi.
Umum berpendapat pergaulan bebas golongan remaja wajar diberikan perhatian oleh ibu bapa dengan serius bagi mengelakkan percampuran tanpa kawalan dan seks bebas. Pendidikan akhlak dengan sifat malu, bertakwa dan beriman mestilah dipupuk sejak anak itu kecil lagi berterusan hingga ke peringkat remaja dan dewasa.
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila hilang budaya malumu, maka kamu akan lakukan apa saja yang kamu kehendaki.” (Riwayat al-Bukhari) Oleh itu, sifat malu atau berasa aib kerana membuat sesuatu yang salah atau yang tidak sopan sangat disanjung tinggi dalam Islam. Sebagai contoh, seseorang itu mestilah berasa malu dengan perbuatan seks bebas dan melakukan perkara yang tidak baik.
Allah s.w.t melarang keras perbuatan zina dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’) Justeru, bimbingan akhlak mulia dan nilai murni di rumah dan di sekolah harus menitikberatkan hal ini. Jelaslah perbuatan zina itu amat keji dan akan membawa keburukan kepada diri seseorang serta masyarakat keseluruhannya.
Dalam usaha pembangunan mental bangsa dan negara, pendidikan anak-anak yang berbudi luhur akan dapat melancarkan dan membantu pembangunan moral, material dan spiritual, sebaliknya manusia khususnya remaja yang berbudi pekerti buruk akan menghancurkan segala-galanya secara menyeluruh.
Pergaulan bebas yang tidak terbatas, misalnya pertemuan muda-mudi atau remaja berlainan jantina akan membawa kepada keruntuhan akhlak terutama di pusat hiburan yang merangsang remaja melakukan kegiatan maksiat tanpa memikirkan implikasi buruknya.
Kajian pakar perubatan Barat menunjukkan bahawa manusia mula memperlihatkan kecenderungan seks sejak dilahirkan lagi. Pada peringkat remaja, tuntutan seks itu berkembang yang didorong rasa inginkan kenikmatan dan keseronokan tanpa diimbangi pertimbangan moral, rasa malu dan keimanan yang kental.
Hal inilah yang membawa kepada pergaulan bebas, perlakuan sumbang, seks bebas yang menjadi antara faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja. Kalangan remaja akan mencari rakan-rakan untuk berseronok dan melepaskan ketegangan yang akhirnya terjebak dalam gejala seks bebas.
Tidak ada fahaman agama sihat yang membenarkan hubungan seks bebas atau zina, sama ada fahaman agama atau sosial, lebih-lebih lagi pelaku daripada kalangan remaja. Hanya fahaman atau ideologi yang tidak sihat saja yang akan membenarkan dan mempertahankan amalan yang merosakkan ini.
Bagi umat Islam keadaan ini masih belum terlambat. Aspek pendidikan menurut al-Quran mestilah diterapkan sejak kecil lagi meliputi pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, jasmani, ketrampilan dan kemasyarakatan. Pendidikan memberi kefahaman yang jelas mengenai hukum dan ketetapan Allah mesti dilakukan sejak awal lagi. Dalam Islam, pendidikan seksual adalah sebahagian daripada pendidikan akhlak iaitu mendidik nafsu dan memberi pengajaran bagi manusia supaya beriman dan mematuhi segala perintah dan menjauhi larangan-Nya.
Justeru, pendidikan seks yang cuba diperkenalkan Kementerian Pelajaran mempunyai matlamat untuk melahirkan remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan seks yang tinggi dibatasi pendidikan moral dan agama. Pendidikan haruslah memberi pendedahan hakikat kemampuan manusia untuk dapat dibina dan dibimbing untuk membentuk manusia yang beriman di mana seluruh peribadinya dijiwai oleh ajaran al-Quran.
Pendidikan seks mestilah berlandaskan Islam yang menekankan perkahwinan adalah penyelesaian kepada kebanyakan masalah kesihatan yang disebabkan hubungan seks. Sesungguhnya larangan zina dan menghampiri zina dalam Islam mengelakkan seseorang terdedah kepada pelbagai jangkitan penyakit kelamin seperti Aids.
Islam melihat hubungan seks penting dalam kehidupan. Hubungan yang halal dan suci akan melahirkan generasi Islam berakhlak. Dalam konteks masyarakat di Malaysia, faktor budaya etnik memainkan peranan penting dalam soal berkaitan seks. Sebagai contoh masyarakat Melayu sejak dulu tidak akan memperkatakan dan bercakap mengenai seks secara terbuka.
Oleh itu, pendidikan seks yang perlu disampaikan mestilah mengikut perkembangan peringkat umur dan kematangan seseorang melalui pendidikan agama. Peranan ibu bapa dan guru dalam menyampaikan maklumat yang betul kepada anak-anak berfungsi secara saling melengkapi.
Di sekolah menengah, melalui pendidikan guru pelajaran agama Islam, pelajaran kesihatan dan jasmani, remaja boleh didedahkan kepada pendidikan ke alam dewasa. Apa yang penting adalah peranan sekolah dan badan-badan berkaitan perlu seiring dengan peranan ibu bapa dalam pendidikan seks dan menjelaskan keburukan seks bebas.
Secara keseluruhan pendidikan seks yang berteraskan Islam akan mengelakkan seks bebas sebelum nikah. Pendidikan seks berlandaskan Islam tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada pihak lain. Peranan ibu bapa sangat penting dan utama sebagai asas pendidikan seks Islam bagi membangun ummah ke arah kesejahteraan.
Penulis ialah penulis bebas berkelulusan PhD Persuratan Melayu
No comments:
Post a Comment