
Batal hasrat bawa Blair ke Malaysia
2010/04/22
PUTRAJAYA: Perdana Global Peace Organisation (PGPO) memberi kata dua kepada syarikat Success Resorces, supaya membatalkan hasrat membawa bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, ke ibu negara bagi memberi ceramah sempena Kongres Pencapai Nasional pada Sabtu ini.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pihaknya juga memohon campur tangan kerajaan bagi menghalang Blair masuk ke sini kerana peranannya dalam pencerobohan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat di Iraq pada 2003.
"Blair menerima kecaman hebat di negaranya kerana menipu rakyatnya bagi menghalalkan serangan terhadap Iraq tapi di negara kita, ada pula pihak yang menjemput penipu ini untuk memberi nasihat kepada usahawan tempatan. Saya tidak faham apa manfaat daripada perbuatan ini. "Saya pandang jijik kepada orang yang bertanggungjawab membawa penjenayah perang seperti Blair ke sini dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah kedatangan penjenayah yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Afghanistan, Iraq dan Palestin.
"Kehadiran Blair di sini boleh diibarat bagai mempersendakan proses keadilan dan kematian lebih 1.4 juta rakyat Iraq dan jutaan lagi yang masih menderita akibat peperangan dilancar oleh Blair dan sekutu lain," katanya pada satu forum membantah kedatangan Blair, di sini semalam.
Hadir sama, Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia, Dr Chandra Muzaffar; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Persekutuan Persatuan Kwong Siew Malaysia, Datuk Michael Ho.
Sehubungan itu, PGPO bersama Perkasa dan 53 NGO lain bercadang mengadakan demonstrasi aman di hadapan hotel di mana Blair dijangka menyampaikan ucapan bagi membantah kedatangannya ke negara ini dan kalau boleh, melakukan 'penahanan rakyat' (citizen's arrest) untuk mengadili Blair di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Sementara itu, Ibrahim berkata, jumlah yang akan menyertai demonstrasi pada Sabtu ini akan menjadi mesej jelas mengenai pendirian rakyat Malaysia terhadap penjenayah perang seperti Blair dan mengajak orang ramai berkumpul bagi mengutuk kehadiran Blair di sini.
"Kalau boleh, bawa selipar seorang satu untuk kita lemparkan beramai-ramai kepada Blair sebagai terjemahan perasaan kita terhadap bekas Perdana Menteri Britan ini yang sememangnya dicerca dan dihina rakyat negaranya sendiri," katanya pada forum yang sama.
PGPO juga memulakan petisyen dalam talian www.perdana4peace.org bertajuk ‘Tony Blair, the War Criminal Must Not Be Allowed on Malaysian Soil', yang setakat ini sudah menerima lebih 3,000 tandatangan sokongan bagi melarang Blair berucap di sini.
Dalam majlis berasingan, berucap pada Pelancaran buku hasil karya bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Dr Mahathir meminta ulama yang menterjemahkan al-Quran supaya lebih bertanggungjawab supaya membuat tafsiran yang tepat.
"Tafsiran yang berbeza mencetuskan perselisihan pendapat di kalangan umat Islam sehingga mengakibatkan perpecahan sedangkan agama itu sendiri tidak ada cacat celanya tetapi manusia yang menjadi punca segala masalah.
"Selain itu, fatwa yang dikeluarkan orang berfikiran cetek walaupun bergelar ulama turut menjadi punca kekeliruan di kalangan umat Islam. Amalan mengeluarkan fatwa dan membuat penafsiran al-Quran yang tidak masuk akal ini harus dihentikan.
"Perbalahan sesama Islam di Afghanistan, Iraq dan Palestin semata-mata kerana fahaman atau mazhab yang berbeza wajar kita jadikan iktibar supaya tidak terjerumus dalam kancah yang sama," katanya.
































No comments:
Post a Comment