KUALA LUMPUR: Syarikat korporat digesa tidak terlalu berkira untuk menunaikan tanggungjawab sosial membantu golongan memerlukan ke arah menjadikan Kuala Lumpur bandar raya kelas pertama.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata berdasarkan senario ekonomi yang semakin positif, syarikat korporat berpeluang mengaut keuntungan dan sepatutnya lebih bermurah hati menyumbang kepada masyarakat.
Beliau turut menyarankan warga kota mengamalkan semangat sukarelawan ke arah mewujudkan masyarakat bandar raya penyayang dan tolong-menolong.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) Soup Kitchen atau Dapur Mesra Pertiwi di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup; Presiden Pertiwi, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim dan Presiden Kelab Rotary Diraja Kuala Lumpur, Datuk Rizal Tun Sardon.
Projek itu perkhidmatan mengagihkan makanan percuma kepada penduduk miskin di beberapa lokasi bandar raya menggunakan van bermula jam 7 malam.
Raja Nong Chik berharap program kemasyarakatan itu akan membuka mata banyak pihak terutama syarikat korporat tampil memberi sumbangan.
Sementara itu, Dr Nik Safiah berkata, van membawa bungkusan makanan serta air itu akan berada di lokasi dikenal pasti selama empat malam seminggu, untuk membekalkan sumbangan itu kepada golongan berkenaan.
“Buat masa ini, kami menumpukan kepada kawasan Chow Kit serta Masjid India dulu dan sedang bekerjasama dengan DBKL untuk mengenal pasti kawasan lain yang memiliki penduduk miskin dan boleh dibantu menerusi program ini.
“Kami berterima kasih kepada Kelab Rotary Diraja Kuala Lumpur yang menyumbangkan sebuah van Nissan Vanette untuk program ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment