PUTRAJAYA: Dengan hanya RM10, orang ramai berpeluang melihat keindahan Putrajaya pada ketinggian 20 meter sepanjang berlangsungnya Pesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya 2010 bermula semalam hingga Ahad ini.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman, berkata lima belon panas disediakan khusus untuk pengunjung pada kali ini, berbanding hanya dua pada tahun lalu.
“Pada tahun lalu, hanya ada dua belon panas disediakan untuk pengunjung dan jumlah itu tidak mencukupi. Maka, kami membuat keputusan untuk menambah belon panas supaya pengunjung dapat merasai pengalaman berada di udara,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 23 belon panas mengambil bahagian pada pesta kali ini, menerusi penyertaan 12 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan Jerman.
“Semua peserta mengenali satu sama lain dan mereka adalah profesional dalam bidang ini kerana di negara masing-masing mereka menjalankan perniagaan dalam industri belon panas malah ada antara mereka yang menjadikan belon panas ini sebagai sumber pendapatan dengan membawa pelancong menaiki belon berkenaan,” katanya selepas perasmian pesta berkenaan di Presint 2, di sini, semalam.
Samsudin berkata, PPj menjangkakan jumlah pengunjung mencecah 100,000 orang memandangkan sambutan menggalakkan pada tahun lalu malah berhasrat menjadikan pesta ini sebagai acara tahunan.
|
“Penganjuran pesta ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Putrajaya lebih meriah dan bukan sekadar pusat pentadbiran kerajaan malah berharap ia menjadi acara tahunan dalam kalendar Putrajaya,” katanya.
Menurutnya, berikutan sambutan menggalakkan di kalangan peserta, PPj terpaksa menolak kira-kira 40 permohonan untuk menyertai pesta berkenaan berikutan masalah ruang yang terhad.
“Kami menerima permohonan daripada 60 peserta yang berminat menyertai pesta pada tahun ini, namun hanya menerima 23 penyertaan berikutan masalah ruang,” katanya.
Sementara itu, pesta berkenaan turut menampilkan persembahan paramotor, pesawat udara kawalan jauh, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, ruang pameran dan gerai menjual pelbagai jenis makanan serta minuman.
Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai mulai jam 7 pagi hingga 9 malam dengan anjuran bersama Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).
Bayaran menaiki belon panas untuk dewasa sebanyak RM10 dan RM5 bagi kanak-kanak. Majlis penutup pada Ahad ini akan disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Bercerita pengalaman peribadi menaiki belon panas, Samsudin berkata, ia adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan kecuali dengan merasainya sendiri.
“Jika menaiki kapal terbang kita tidak dapat melihat pemandangan di bawah dengan jelas berbanding menaiki belon panas dan ia suatu pengalaman yang menakjubkan.
“Malah, banyak tempat yang saya tidak pernah lihat di sekitar Putrajaya dapat diperhatikan dari udara,” katanya.
No comments:
Post a Comment