Oleh Ramli Ibrahim
2010/05/25
Mangsa luah perasaan kepada rakan melalui SMS kerana isteri minta cerai
GUA MUSANG: Seorang lelaki yang juga bapa kepada tiga anak, ditemui mati tergantung akibat kecewa dengan tindakan isterinya menuntut cerai di Kampung Limau Kasturi Dua di sini, pagi semalam.
Mangsa berusia 27 tahun, ditemui tergantung dalam tandas bilik tidur rumahnya kira-kira jam jam 11 pagi oleh rakannya, Saiful Nazim Nawang, 21, selepas bergegas ke tempat kejadian apabila mengetahui mangsa tidak keluar dari bilik sejak Khamis lalu.
Saiful Nazim berkata, bapa mangsa meminta bantuannya untuk memujuk lelaki terbabit keluar dari bilik kerana kebiasaan hanya dia seorang yang mampu berbuat demikian ekoran hubungan rapat mereka sejak kecil.
“Saya memanggilnya berulang kali tetapi tidak dijawab dan ketika mengintai menerusi lubang tingkap di luar bilik tidurnya, saya terdengar bunyi lalat menyebabkan saya mengesyaki sesuatu berlaku.
“Saya memecah tingkap masuk ke dalam bilik dan terjumpa mayatnya tergantung dalam bilik air dalam keadaan sudah berbau,” katanya ketika ditemui, semalam.
Saiful Nazim berkata, kira-kira jam 6 petang Khamis lalu, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada mangsa yang meluahkan kekecewaan kerana isterinya membuat keputusan untuk bercerai.
Beliau berkata, sejurus menerima SMS itu, dia bimbang perkara buruk berlaku dan menghubungi rakannya itu untuk memberi nasihat dan memintanya solat.
Katanya, mangsa tidak keluar dari bilik tidurnya sejak Khamis lalu selepas isterinya bersama tiga anak pulang ke rumah mentuanya di Kampung Limau Kasturi Satu tidak jauh dari situ.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:
Post a Comment