2010/05/31
BALING: Ketika peniaga dan pengguna di beberapa negeri di negara ini mengeluh kerana sukar mendapat bekalan gula, keadaan sebaliknya berlaku di selatan Thailand apabila gula pasir bersubsidi untuk kegunaan rakyat tempatan dijual secara bebas di negara itu.
Tinjauan di daerah Pattani, Thailand, semalam mendapati, gula pasir keluaran Malaysia, iaitu Gula Prai yang dikhaskan untuk kegunaan tempatan dijual di merata tempat secara terbuka di kedai runcit dan pasar malam di situ.
Keadaan itu menggambarkan seolah-olah gula pasir bersubsidi keluaran Malaysia terlalu mudah diseludup keluar ke Thailand.
Seorang pekedai runcit, Wejah Wesamael, 73, berkata dia tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan gula dari Malaysia kerana bekalan banyak.
Katanya, walaupun beliau difahamkan gula itu dihadkan untuk pasaran Malaysia, mereka tidak menghadapi masalah mendapatkannya walaupun dengan harga RM2.50 sekilogram.
“Bekalan tidak pernah putus kerana setiap minggu ada pemborong datang menghantar bekalan dan saya menjualnya dengan harga RM2.50 sekilogram,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Cabang Tiga, Pattani, Thailand.
Wejah berkata, dia tidak tahu dari mana pemborong terbabit mendapatkan bekalan kerana tidak mahu ambil tahu, sebaliknya apa yang penting ia mendapatkan stok untuk dijual kepada penduduk di kampungnya.
Sementara itu, tinjauan di pekan Baling mendapati, ramai pengguna, terutama peniaga makanan dan minuman merungut sukar mendapat bekalan gula.
Seorang pengusaha kedai makan, Soria Mat Zanu, 40, berkata dia sukar mendapatkan bekalan sejak beberapa minggu lalu apabila hanya dapat membeli bahan pemanis itu dalam kuantiti yang sedikit saja.
"Saya pernah tidak dapat berniaga dan menutup kedai beberapa hari kerana bekalan gula terputus di pekan ini.
"Pihak berkuasa sepatutnya memastikan bekalan gula untuk keperluan rakyat tempatan mencukupi," katanya.

No comments:
Post a Comment