
Iran miliki bom atom 2012
2010/06/29
Pengarah CIA persoal niat Teheran bangunkan teknologi nuklear
WASHINGTON: Iran mempunyai cukup uranium untuk membuat dua senjata nuklear dan bersedia untuk melancarkannya seawal tahun 2012, dakwa pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), semalam.
Kami berpendapat, mereka mempunyai uranium yang cukup untuk dua senjata, kata Leon Panetta kepada program This Week stesen televisyen ABC.
Teheran memerlukan setahun untuk mengakhiri proses pengkayaan uranium bagi menghasilkan sebutir bom atom dan ia mungkin mengambil setahun lagi untuk membangunkan sistem penghantaran senjata jenis itu untuk membolehkan ia terlaksana, katanya.
Iran kini berada di bawah tekanan antarabangsa kerana disyaki menjalankan program nuklear berkenaan yang dibimbangi Barat bertujuan untuk membuat senjata.
Republik Islam itu berulang kali menafikan dakwaan berkenaan tetapi sudah menyiapkan tentera mereka dalam rantau strategik Teluk dengan menjalankan permainan perang biasa dan pertunjukan peluru berpandu buatan Iran.
Perdebatan tidak akan berakhir dan pada masa ini adalah sama ada mereka meneruskan program itu selepas memiliki sebutir bom. Tetapi, adalah jelas mereka membangunkan keupayaan nuklear dan ia menimbulkan kebimbangan, kata Panetta.
Cuma apa sebenarnya niat mereka?
Sama ada Amerika Syarikat atau sekutu mereka Israel, tindakan tidak mengisytiharkan kuasa senjata nuklear di Asia Barat memberikan amaran kemungkinan menggunakan tentera untuk menghalang senjata atom Iran.
Israel amat bimbang mengenai apa yang berlaku di Iran, kata Panetta.
Kami terus berkongsi maklumat risikan (dengan Israel) mengenai apa sebenarnya keupayaan Iran, kata Panetta kepada ABC tetapi menambah bahawa Israel sedia memberi ruang untuk membolehkan mereka mengubah Iran secara diplomatik, budaya mahupun politik. AFP

Dua lagi IPT Britain ke Iskandar Malaysia
Oleh Kamarulzaidi Kamis
2010/06/29
Presiden dan Ketua Eksekutif IIB, Arlida Ariff
Presiden dan Ketua Eksekutif IIB, Arlida Ariff
Universiti Reading, Universiti Southampton buka cawangan
ISKANDAR Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya menjadi pusat pendidikan tinggi bersepadu dunia apabila dua lagi universiti terkemuka dari United Kingdom iaitu Universiti Reading dan Universiti Southampton akan membuka cawangan di wilayah itu menjelang 2012.
Dua universiti itu sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendapat kebenaran untuk menawarkan program pengajian di negara ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif IIB, Arlida Ariff yang mengesahkan perkara itu berkata, perjanjian kerjasama antara pihaknya dengan kedua-dua universiti itu dijangka dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.
Universiti Reading dan Southampton sudah menghantar permohonan kepada kerajaan baru-baru ini untuk memulakan operasi di EduCity, Iskandar Malaysia.
Universiti Southampton akan menawarkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan, manakala Reading jurusan perniagaan dan sains binaan, dan perjanjian kerjasama operasi dengan IIB dijangka dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Arlida berkata, konsep perjanjian operasi itu adalah sama dengan perjanjian yang sudah dimeterai dengan beberapa universiti lain sebelum ini iaitu IIB akan membina kampus dan menyewakan kepada universiti berkenaan.
Semalam, Education@Iskandar Sdn Bhd (EISB), anak syarikat IIB memeterai perjanjian dengan Management Development Institute of Singapore (MDIS) bagi pembinaan kampus cawangan MDIS di Educity yang dijangka beroperasi menjelang 2013.
Ia akan menawarkan kursus dalam pengurusan perniagaan, komunikasi massa, teknologi maklumat dan media digital serta pelancongan.
Pada November 2008, Universiti Newcastle mengumumkan penubuhan kampus cawangan pertama luar negaranya yang membabitkan pengajian perubatan di EduCity.
Cawangan yang akan dikenali sebagai Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) itu dijangka akan memulakan operasi pada tahun depan.
Raffles Education Corporation Ltd, kumpulan pendidikan swasta terbesar Asia Pasifik pula pada Mac lalu mengumumkan melabur kira-kira RM200 juta bagi membina kampus pengajian dan universiti di wilayah berkenaan.
Sementara itu, pada bulan lalu, dua institusi pelayaran terkemuka Belanda, iaitu Institut Maritim De Ruyter dan Institut Maritim Willem Barentsz mengumumkan penubuhan Universiti Maritim Netherland yang akan beroperasi pada 2012.
Arlida berkata, pada dasarnya, Iskandar Malaysia dirancang untuk memiliki lapan universiti selaras dengan enam kluster pembangunan wilayah itu dalam pelan induknya.