
Bebas dakwaan hina sultan
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
2010/06/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan ini. Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya,” kata Muslim Ahmad, 54, di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Muslim yang bekerja sendiri, berkata demikian di luar mahkamah selepas Hakim SM Komathy Suppiah memutuskan dia dilepas dan dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya yang didakwa dengan tiga tuduhan pindaan memberikan komen menghina Sultan Perak melalui sebuah portal, tahun lalu. Dalam penghakimannya, Komathy berkata, keterangan diberi saksi pendakwaan kesembilan (SP9), Pengurus Bahagian Forensik Digital Siber Sekuriti, Mohd Zabri Adil Talib, 31, mengenai masa Muslim selaku defendan kes ini mengakses Internet dan masa dia didakwa memberikan komen itu tidak dapat dibuktikan.
“SP9 dalam keterangannya gagal membuktikan defendan mengakses Internet dan masa defendan menulis komen itu adalah pada masa yang sama,” katanya. Selain itu, Komathy berkata, biarpun defendan suspek dalam kes itu berikutan alamat pengguna Internet protokol (IP) yang digunakan miliknya namun secara amnya sesiapa saja boleh menggunakan alamat IP yang sama untuk mengakses Internet. “Ia menunjukkan ada kemungkinan terdapat orang lain menggunakan alamat IP yang sama digunakan defendan,” katanya. Mengikut pertuduhan, Muslim didakwa menghantar komen jelek sifatnya melalui portal negeri iaitu www.perak.gov.my dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini, jam 2.21 petang pada 7 Februari 2009. Muslim juga didakwa melakukan kesalahan sama di tempat sama pada hari sama, jam 2.27 petang dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan kesalahan sama jam 4.39 petang pada 8 Februari 2009 di tempat sama. Bapa empat anak itu diwakili peguam K Periasamy, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun.

No comments:
Post a Comment