Pengurus kilang dakwa nikah kali kedua di Thailand
ALOR SETAR: Seorang isteri berusia 30-an di sini terkejut apabila mengetahui dia dimadukan selepas suaminya ditahan oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu dalam serbuan di sebuah rumah di Jitra, awal pagi semalam.
Serbuan kira-kira jam 2 pagi itu dilakukan selepas pejabat agama menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat membabitkan satu pasangan di rumah terbabit.
Dalam serbuan itu, pegawai penguat kuasa berkenaan melakukan pemeriksaan ke atas suami wanita terbabit, berusia 50-an yang juga seorang pengurus kilang perabot dan seorang janda berusia 30-an.
Pasangan itu mendakwa sudah bernikah di Thailand dua minggu lalu dan menunjukkan dokumen pernikahan mereka, tetapi statusnya diragui pegawai jabatan agama.
“Pasangan itu mendakwa sudah bernikah di negara jiran dengan menunjukkan salinan surat nikah mereka, tetapi belum mendaftarkannya di Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK),” katanya sumber jabatan agama terbabit.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Salmah, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan suaminya itu sudah bernikah dengan pasangannya di Thailand kerana dia tidak pernah memberi keizinan kepada suaminya untuk berpoligami.
“Saya mengesyaki mereka bernikah melalui sindiket pernikahan palsu di negara jiran kerana apa yang saya tahu rakyat Malaysia yang mahu bernikah di Thailand perlu mendapat kebenaran dari konsulat negara ini.
“Selain itu, suami saya juga perlu mendapatkan kebenaran daripada saya untuk berpoligami dan saya langsung tidak tahu apa-apa sehinggalah ia terbongkar selepas penguat kuasa membuat serbuan dan suami menunjukkan surat nikah Thailand,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Setar, Sheikh Mohd Roze Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, pasangan itu perlu membuat pengesahan pernikahan terlebih dulu bagi memudahkan JAIK menentukan status pernikahan mereka dan menyelesaikan kes itu.

No comments:
Post a Comment