2010/06/21
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Orphan Care melancarkan Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini (Baby Hatch) pada 29 Mei lalu. Pelancaran bertujuan mewujudkan tempat khas kepada golongan wanita dan ibu yang terdesak daripada membuang bayi mereka.
Saya bersetuju dengan cadangan kementerian menubuhkan pusat jagaan berkenaan yang dilihat sebagai langkah menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius ketika ini.
Namun, penubuhan pusat jagaan itu bukan penyelesaian terbaik kepada masalah yang wujud ini. Apa yang dilakukan itu hanya sebahagian jalan keluar daripada banyak lagi jalan keluar lain.
Penubuhan ‘Baby Hatch’ ini akan mendatangkan kesan besar kepada masyarakat khususnya kepada golongan remaja. Penubuhan pusat itu seolah-olah memberi lampu hijau kepada mereka untuk melakukan zina kerana mereka sudah tidak perlu lagi risau untuk melahirkan bayi kerana sudah ada tempat khas untuk menempatkan bayi berkenaan.
Justeru itu, penubuhan ‘Baby Hatch’ dilihat seolah-olah menjadi penerus kepada gejala sosial yang berlaku.
Sudah tiba masanya kerajaan kembali kepada pendekatan agama di samping memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat bagi menangani gejala itu. Kerajaan hari ini seharusnya bertindak menggubal undang-undang syariah yang lebih tegas seterusnya bertindak melaksanakannya secara berperingkat kepada mereka yang terbabit.
Sebagai contoh, pelaksanaan hukuman sebat kepada penzina belum berkahwin dan hukuman rejam kepada penzina sudah seperti dianjurkan syariat Islam. Ini adalah jawapan paling tegas bagi menangani isu yang tidak pernah berkesudahan ini.
Seperti diketahui umum, selepas bertahun-tahun, undang-undang jenayah syariah di negara ini masih tetap tidak berubah dengan angka maksimumnya iaitu penjara tiga penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.
MUHAMMAD FIRWAN NORLIZA
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2009/2010
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:
Post a Comment