Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/06/24
Bapa lima anak mengaku salah berkelakuan tidak senonoh
KUANTAN: Bapa beranak lima didenda RM100 di Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku salah mengintai wanita berusia 25 tahun mandi di sebuah rumah di Taman Jasmin, Jalan Mat Kilau, 21 Jun lalu.
Tertuduh, Eddy Che Din, 44, dari Taman Uda, Batu 4, Jalan Gambang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Zaihan Mohamed Ali.
Mengikut pertuduhan, Eddy didakwa mengintai wanita terbabit ketika mangsa sedang mandi di rumahnya
di Taman Jasmin, Jalan Mat Kilau, di sini pada jam 7.30 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak senonoh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100.
Nor Zaihan menjatuhkan hukuman denda RM100 ke atas tertuduh atau dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda itu.
Pendakwaan dilakukan Asisten Superintendan T Murugesu.
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, seorang nenek 43 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam atas tuduhan mengedar dadah di hadapan tandas awam Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Khamis lalu.
Harini Che Soh, dari Rantau Panjang, Kelantan yang juga seorang ibu tunggal dan mempunyai empat anak serta dua cucu, dituduh mengedar heroin seberat 83 gram pada jam 6 pagi 17 Jun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Harini ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Pendakwaan terbabit dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Mohammad.
Wan Nor Aklima kemudian menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin.

No comments:
Post a Comment