PUTRAJAYA: Seorang bekas tentera terlepas hukuman mati selepas pihak pendakwaan meminda tuduhan bunuh kepada hanya menyebabkan kematian anak tirinya yang berusia empat tahun.
Shahrul Izwan Ahmad Zaidi, 33, djatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini, semalam selepas mengaku bersalah dalam tuduhan pindaan.
Pihak pendakwaan memutuskan untuk meminda dakwaan itu berikutan bukti daripada ibu mangsa yang memberi keterangan ketika perbicaraan bahawa dia mendengar Shahrul Izwan berkata, dia tidak berniat membunuh mangsa.
Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop mengarahkan Shahrul Izwan menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 8 Januari 2003.
Panel hakim itu menolak sabitan dan hukuman mati ke atas Shahrul.
Pada 8 September 2006, Mahkamah Tinggi Taiping menjatuhkan hukuman mati ke atas Shahrul Izwan selepas mendapati dia bersalah membunuh Nur Syafrida Md Shukor di sebuah rumah di Kampung Pasir, Kamunting, Taiping pada jam 7 malam, 25 Jun, 2002.
|
Shahrul Izwan mengahwini ibu mangsa yang mempunyai tiga anak daripada perkahwinan terdahulu termasuk Nur Syafrida yang juga anak bongsu. Shahrul dan ibu mangsa mempunyai dua anak yang kini berusia tujuh dan lapan tahun.
Sebelum tinggal bersama ibunya, mangsa dan dua adik-beradiknya dipelihara datuk sebelah ibunya di Gemas, Negeri Sembilan. Menurut fakta kes, Shahrul Izwan membawa kanak-kanak itu untuk dimandikan di rumah mereka kerana ibunya pada masa itu mengandung lapan bulan.
Ibu mangsa kemudian terdengar air dipercikkan ke lantai dengan hos getah dan kira-kira setengah jam kemudian, tertuduh membawa Nur Syafrida dan meletakkan kanak-kanak itu di atas tikar di ruang tamu rumah bagi menyedarkannya.
Ibu mangsa juga memberi keterangan bahawa apabila dia mengangkat kaki kanak-kanak itu dia ternampak ‘ada lubang besar dan tidak pasti sama ada di faraj atau duburnya dan lihat seperti ada usus terkeluar dari lubang itu’.
Mangsa tidak bergerak dan tertuduh meminjam kereta kawannya untuk membawa mangsa. Tertuduh dan ibu mangsa kemudian mengebumikan jenazah Nur Syafrida dalam kubur yang cetek di Sungai Siput kira-kira 50 kilometer (km) dari rumah mereka.
Datuknya kemudian datang untuk membawa Nur Syafrida pulang tetapi diberitahu ibu mangsa bahawa kanak-kanak itu hilang ketika melawat bandar peranginan Bukit Merah.
Ibu mangsa membuat laporan polis berikutan bapanya enggan pulang dan ketika disoal siasat, ibu mangsa mendedahkan bahawa anaknya mati dan dikebumikan di Sungai Siput.
Polis menemui tinggalan rangka kanak-kanak itu enam bulan kemudian yang membawa kepada penangkapan Shahrul Izwan. - Bernama
No comments:
Post a Comment