KUALA LUMPUR: Ribuan warga kota lewat tiba ke pejabat berikutan perkhidmatan tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya milik Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) gagal berfungsi jam 8.45 pagi semalam.
Kejadian ketika waktu puncak itu dipercayai berpunca daripada masalah ‘internal power deception’ mengakibatkan laluan dari stesen Sri Rampai hingga Damai menuju Kelana Jaya terhenti.
Berikutan itu, penumpang menggunakan tren dari stesen Terminal Putra hingga Wangsa Maju terpaksa menggunakan bas transit disediakan untuk membawa mereka ke stesen Ampang Park, sebelum boleh meneruskan perjalanan mereka ke destinasi lain.
Sepanjang tempoh itu, penumpang menunggu setengah jam di hampir semua stesen berikutan hanya satu laluan saja dibuka untuk laluan tren dari stesen Ampang Park ke Kelana Jaya. Walaupun perkhidmatan tren kembali berfungsi seperti biasa pada jam 12.45 tengah hari, kejadian serupa kembali berlaku pada jam 2.00 petang memberi kesan kepada laluan LRT dari Damai ke Gombak.
Kegagalan kali ketiga berlaku mengakibatkan laluan tren stesen Bangsar ke Dang Wangi terjejas.
Sementara kerja baik pulih dijalankan, perkhidmatan bas perantara terus disediakan ke beberapa lokasi, malah penumpang disediakan perkhidmatan bas percuma membawa mereka di lokasi terjejas. Beberapa penumpang ditemui meluahkan kekesalan dan menganggap perkara sedemikian boleh dielakkan jika pihak terbabit dapat mengesan punca lebih awal. Pekerja swasta, Irwan Hisham, berkata beliau berharap majikannya memahami keadaan terpaksa ditempuhinya berikutan lewat hampir dua jam ke pejabatnya di Kelana Jaya. “Walaupun berlaku kesulitan, pihak terbabit bijak mengawal keadaan dengan menyediakan perkhidmatan alternatif kemudahan pengguna,” katanya yang menetap di Setiawangsa.
|
Difahamkan, perkhidmatan LRT ke semua stesen kembali pulih sepenuhnya selepas jam 5.15 petang. Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Prasarana, Ebi Azly Abdullah dalam satu kenyataannya, berkata pengguna dimaklumkan secara berterusan berkaitan masalah dihadapi melalui SMS dan Twitter.
Katanya, Prasarana menggalakkan pengguna mendaftarkan diri sebagai ahli komuniti online RapidKL dengan melayari laman sesawang www.rapidkl.com.my untuk menerima SMS susulan atau mengikuti perkembangan terkini melalui www.twitter.com/@myrapidkl.
No comments:
Post a Comment