
Ambil 10,000 pelajar
Oleh Hazwan Faisal Mohamad
upen@bharian.com.my
2010/06/09
Kampus baru MSU lengkap pelbagai kemudahan pembelajaran
MANAGEMENT & Science University (MSU) akan meningkatkan pengambilan pelajarnya sehingga 10,000 orang secara berperingkat mulai sesi pengambilan bulan depan berbanding 6,500 sekarang.
Presidennya, Prof Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid, berkata penambahan pelajar itu berikutan kampus baru fasa pertama universiti itu yang lengkap pelbagai kemudahan di Shah Alam, mula beroperasi sepenuhnya bulan lalu.
Selain menawarkan suasana pembelajaran kondusif, beliau berkata, kampus fasa pertama, iaitu sebahagian daripada kompleks baru universiti bernilai RM500 juta itu turut menempatkan bahagian pentadbiran dan Pusat Islam.
“Selain itu, kampus fasa pertama ini juga mempunyai dewan besar yang membolehkan majlis konvokesyen diadakan di sini mulai Disember depan.
“Majlis konvokesyen kali ini adalah yang terakhir diadakan di luar kampus kerana dewan baru ini mampu menampung sehingga 3,000 orang.
“Selain itu, pembinaan hospital, hotel dan kolej kediaman untuk pelajar dijalankan dalam fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada 2012,” katanya selepas Majlis Konvokesyen ke-7 MSU di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, kelmarin.
Sementara itu, pelajar cemerlang, Nor Hafizah Ishak, 24, yang menerima Anugerah Pingat Emas Canselor berkata, pembabitan aktif dalam kegiatan kokurikulum tidak menghalangnya muncul pelajar terbaik akademik.
Pelajar Ijazah Perniagaan Antarabangsa itu tidak menganggap pembabitannya sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengganggu pelajaran, sebaliknya membantunya berfikiran lebih kritis dan kreatif.
“Saya memberi tumpuan lebih terhadap akademik, termasuk rajin bertanya pensyarah di dewan kuliah sekiranya tidak memahami mengenai sesuatu perkara atau subjek diajar.
“Setiap hari, saya peruntukkan masa satu jam untuk belajar, selain terus bertanya rakan jika tertinggal kuliah disebabkan sibuk dengan aktiviti kokurikulum,” katanya yang mendapat Purata Nilaian Gred Kumulatif 3.73.
Nor Hafizah yang fasih berbahasa Mandarin berkata, dorongan ibu bapa banyak membantunya memperoleh pencapaian cemerlang setiap semester.
“Presiden MSU turut memberi sokongan dengan memberi nasihat yang menjadi pegangan saya hingga kini, iaitu ‘dalam dunia ini memang akan ada masalah, namun tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan”.
“Selain itu, teknik membaca laju yang saya amalkan sejak sekolah menengah banyak membantu kerana ia mempercepatkan proses pembelajaran, tambahan pula saya sentiasa sibuk dengan aktiviti MPP,” katanya.
































No comments:
Post a Comment