Sumbat bayi dalam tangki tandas
Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my
JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 21 tahun disyaki membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya Isnin lalu dengan melemaskan anaknya dalam pam tandas sebuah sekolah memandu di Segamat, bagi melindungi hubungannya bersama dua lelaki daripada terbongkar.
Mayat anaknya itu kemudian disumbat dalam tangki pam tandas berkenaan sehingga menyebabkan tubuh kecil itu remuk dan pecah.
Namun, rahsianya tidak bertahan lama apabila orang ramai yang merungut bau busuk dari tandas berkenaan membawa kepada penemuan mayat bayi yang mula membengkak dan reput.
Sumber polis semalam berkata, kepala bayi yang baru dilahirkan itu hampir hancur akibat disumbat dengan kuat ke dalam tangki pam.
Beliau berkata, lima hari lalu, dia dikatakan ke sekolah memandu berkenaan bagi menduduki ujian memandu, tetapi tergesa-gesa keluar dari kenderaan dengan alasan untuk ke tandas kerana sakit perut.
Difahamkan, ketika kejadian, dia berada hampir dua jam dalam tandas kononnya kerana membuang air besar dan orang ramai tidak mengesyaki sebarang perkara pelik.
Bagaimanapun, dia sebenarnya melahirkan bayi cukup sifat hasil hubungan sulit dengan dua lelaki berkenaan.
"Selepas hampir dua jam dalam tandas, dia keluar dari tandas dan meminta bantuan seorang pekerja sekolah memandu itu untuk mendapatkan beg plastik sebelum kembali semula dalam tandas dengan alasan perutnya kembali memulas.
"Dipercayai dia menggunakan beg plastik berkenaan untuk membungkus bayi baru dilahirkan itu sebelum dimasukkan dalam tangki pam berkenaan dan terus beredar," katanya.
Difahamkan, dia sudah ditahan polis untuk membantu siasatan, manakala polis sedang menjejaki dua lelaki yang dikatakan pernah menjalinkan hubungan sulit dengannya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Md Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sebaliknya menegaskan satu sidang media dijangka diadakan Isnin ini.
No comments:
Post a Comment