
Dua lagi syarikat penerbangan beroperasi di Subang SkyPark
SUBANG SkyPark Sdn Bhd menjangkakan dua lagi syarikat penerbangan, masing-masing satu dari Indonesia dan Thailand, mengadakan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Subang SkyPark, Janardhanan Gopala Krishnan, berkata kedua-dua syarikat penerbangan itu sedang dalam proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada kementerian dan pihak berkuasa berkaitan.
“Syarikat penerbangan dari Thailand hampir menyelesaikan proses terbabit manakala bagi syarikat penerbangan dari Indonesia, perbincangan masih berjalan,” katanya pada lawatan media ke Terminal SkyPark di lapangan terbang itu di Subang, kelmarin.
Subang SkyPark adalah pengendali komersial Terminal SkyPark. Pada masa ini lapangan terbang itu menempatkan operasi Berjaya Air dan Firefly.
Janardhanan berkata, pergerakan penumpang di lapangan terbang itu diunjurkan meningkat tahun ini daripada 1.3 juta tahun lalu.
Katanya, ini berikutan peningkatan kekerapan penerbangan dan pertambahan destinasi kerana Berjaya Air dan Firefly akan menambah bilangan pesawat tahun ini.
Buat masa ini, lapangan terbang itu menampung purata 60 penerbangan sehari, meliputi ketibaan dan berlepas.
“Kami mencatatkan peningkatan penumpang daripada 2008, ketika kami memulakan projek ini, hingga Disember tahun lalu, ia meningkat lima kali ganda,” katanya.
Janardhanan berkata, tahun ini, tumpuan diberikan untuk meningkatkan sebahagian daripada tawaran perkhidmatan di terminal berkenaan.
Syarikat itu sedang menaikkan taraf kaunter daftar masuk, pejabat tempahan tiket, cawangan makanan dan minuman, kedai runcit, perkhidmatan tempat letak kereta valet, kemudahan seperti Wi-Fi jalur lebar, dan kemudahan awam.
Ia akan memulakan segera pembangunan kompleks hangar serta kemudahan penyenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) bagi pesawat komersial dan korporat, kata Janardhanan.
Katanya, kerja dijadualkan bermula bagi Commercial Nexus untuk destinasi percutian dalam suku ketiga.

No comments:
Post a Comment