

LILLE: Datuk Bandar sebuah kota di Perancis kelmarin memfailkan aduan di mahkamah bagi menuduh sebuah restoran makanan segera mengamalkan diskriminasi kerana hanya menyediakan burger halal.
Datuk Bandar Roubaix, Rene Vandierendonck, mahu restoran burger mencadangkan menu baru dan dipelbagaikan yang boleh memenuhi citarasa lebih ramai pelanggan.
Quick adalah rangkaian restoran segera dari Belgium serta popular di Eropah dan menawarkan hamburger berharga rendah, kentang goreng dan makanan segera biasa lain. Restoran berkenaan dibuka di merata tempat di Perancis.
Restoran Quick di Roubaix adalah antara tujuh di Perancis yang menyediakan makanan halal saja sejak November lalu. Burger yang dulunya disediakan dengan daging babi, kini disediakan dengan daging lembu panggang.
Perancis mempunyai penduduk Muslim paling ramai di Eropah, kebanyaknya berasal dari Afrika Utara. Perancis juga mempunyai banyak restoran yang hanya menyediakan makanan halal, terutama di kawasan ramai penduduk Muslim.
Vandierendonck berkata, beliau tidak membantah pilihan halal itu, jika tiada pilihan lain.
“Adalah baik sebuah restoran seperti Quick menawarkan (daging) halal, tetapi kenapa mengetepikan apa yang ada sebelum ini di semua cawangan? Hakikatnya mereka tidak menawarkan pilihan lain kepada pelanggan bukan Muslim tidak dapat diterima.”
Bandar Roubaix memfailkan aduan diskriminasi dengan mahkamah daerah di Lille kelmarin. Pegawai Quick tidak mengulas mengenai aduan itu, dan tidak pasti bila ia akan memutuskan sama ada untuk membicarakannya atau tidak.
Kes itu menyentuh perasaan kerana Quick adalah rangkaian restoran yang sering dikunjungi pelanggan Perancis di seluruh negara. - AP
No comments:
Post a Comment