GEORGETOWN: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia untuk melarikan diri melalui balkoni bilik setinggi 11 tingkat gagal selepas dihalang pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi cegah maksiat sempena Hari Kekasih, awal pagi semalam, di Desa Baiduri, Air Itam.
Dalam kejadian jam 12.40 pagi itu, lelaki berusia 30-an itu bertindak untuk terjun bangunan selepas terkejut dengan ketukan bertalu-talu pintu rumah sewanya ketika tidur.
Bagaimanapun, niatnya itu tergendala selepas pegawai penguat kuasa JHEAIPP menghalang sehingga menyebabkannya masuk ke dalam rumah sebelum menyerah diri selepas disyaki berkhalwat.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata pasukannya yang dianggotai 20 pegawai penguat kuasa JHEAIPP terkejut melihat kelibat seorang lelaki yang cuba melarikan diri dari balkoni.
Menurutnya, selepas menghalang lelaki berkenaan terjun, pihaknya mendapati dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 30-an berada bersamanya di dalam bilik berasingan.
“Lelaki yang memakai kain pelekat dan berseluar pendek tanpa baju itu gagal membuktikan dokumen nikah yang sah dan dipercayai berada bersama wanita senegaranya di sebuah bilik manakala rakan wanita senegaranya pula berada bersama seorang lelaki tempatan tanpa nikah.
“Mereka ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Farlim untuk dibuat laporan tangkapan,” katanya.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, turut ditahan lapan lelaki dan lapan wanita serta seorang pondan dengan masing-masing berusia antara 16 hingga 30 tahun di beberapa hotel murah sekitar Butterworth.
Khairul Azman berkata, dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 29 tahun yang enggan bekerjasama dan cuba bergelut dengan pihaknya turut ditahan.
Tersangkut di balkoni
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
2010/02/27 GEORGETOWN: Cubaan seorang lelaki meloloskan diri melalui balkoni sebuah pangsapuri di tingkat tiga bagi mengelak dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), mengundang padah apabila dia tersangkut sehingga terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis untuk menyelamatkannya.
Lelaki berusia 30-an dan dipercayai sudah berkahwin serta mempunyai anak cuba melarikan diri melalui balkoni pangsapuri di Jalan Tuna, Seberang Jaya, awal pagi kelmarin bagi mengelak dicekup kerana disyaki berkhalwat bersama teman wanitanya.
Namun, tindakan itu mengundang padah apabila dia tersangkut di bumbung rumah jirannya di tingkat dua dalam cubaan melarikan diri ditahan.
Penolong Unit Operasi JHEAIPP, Ibrahim Md Jaki, berkata lelaki itu dipercayai menjalin hubungan sulit dengan teman wanitanya yang tinggal di sebuah unit pangsapuri sejak beberapa bulan lalu tetapi bagi mengaburi mata jiran, mereka meletakkan papan tanda rumah untuk di sewa di pintu rumah berkenaan.
“Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 pagi itu, sepasukan pegawai penguat kuasa JHEAIPP yang memeriksa pangsapuri itu mengetuk pintu beberapa kali tetapi tidak mendapat kerjasama.
“Kami menunggu hampir sejam sebelum memecah masuk menggunakan alat pemotong besi,” katanya.
Menurutnya, ketika memeriksa rumah itu, pegawainya terlihat jari kaki di bawah pintu dan selepas pintu ditarik, mereka menemui seorang wanita bersembunyi di belakangnya.
“Selepas itu, kami menemui seorang lelaki yang bergayut di belakang balkoni dipercayai tersangkut pada bumbung rumah jiran di tingkat dua dalam cubaan untuk lari melalui balkoni rumahnya.
“Cubaan menarik lelaki itu masuk ke rumah gagal kerana badannya bersaiz besar sehingga kami terpaksa meminta bantuan polis dan bomba,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal membuktikan sebarang dokumen pernikahan yang sah dan mengaku masih belum berkahwin.
Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda, Bukit Mertajam untuk dibuat laporan tangkapan dan disiasat mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.
Sementara itu, Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pasangan itu dibawa ke Pejabat JHEAIPP untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Bukit Mertajam untuk perintah ikat jamin.
“Bagaimanapun, pasangan itu gagal membayar wang jaminan RM2,500 setiap seorang yang ditetapkan dan ditahan di Penjara Pulau Pinang sehingga 3 Mac depan sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa,” katanya.
2 lelaki, 4 wanita dicekup berkurung dalam rumah
Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/03/04 MELAKA: Kehadiran dua lelaki ke rumah bujang yang didiami sekumpulan wanita bukan saja membongkar kegiatan mereka yang dipercayai berkhalwat, malah mendapati salah seorang penghuninya sudah sarat mengandung anak luar nikah.
Serbuan dilakukan kira-kira jam 1.15 pagi semalam oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di sebuah rumah di Taman Angkasa Nuri, Batu Berendam, dekat sini, selepas menerima maklumat kehadiran dua lelaki terbabit.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agamanya, Rahimin Bani, berkata pemeriksaan yang dilakukan menemui dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun berada di ruang tamu tingkat bawah rumah itu.
Katanya, apabila disoal siasat, lelaki terbabit mendakwa membantu kenalan mereka itu untuk mengemas barang kerana baru berpindah di rumah itu.
“Pemeriksaan lanjut di tingkat atas rumah berkenaan menemui empat wanita berusia antara 23 hingga 30 tahun berada di dalam bilik masing-masing.
“Apabila ditanya tentang kehadiran lelaki terbabit, mereka mengakui tujuan lelaki tersebut datang untuk membantu rakannya yang berusia 30 tahun mengangkat barang kerana baru berpindah.
“Wanita berusia 30 tahun itu juga didapati sedang sarat mengandung dan apabila disoal siasat dia masih belum mendirikan rumah tangga,” katanya, di sini, semalam.
Rahimin berkata, mereka ditahan kerana disyaki berkurung dengan bukan muhrim di dalam satu rumah sehingga mendatangkan syak.
Katanya, dalam siasatan ke atas wanita terbabit, dia turut menyatakan sudah hamil lapan bulan dan akan bersalin dalam tempoh terdekat.
“Dia turut mengemukakan rekod kehamilan yang diperoleh menerusi pemeriksaan di klinik kesihatan. “Apabila ditanya siapa yang bertanggungjawab ke atas kehamilannya, wanita terbabit menyatakan dia hanya mengenali lelaki berkenaan sebagai `Mat’ saja,” katanya.
Beliau berkata, siasatan terhadap individu lain yang ditahan itu mendapati lelaki berusia 28 tahun itu sudah mendirikan rumah tangga serta salah seorang wanita berusia 27 tahun terbabit juga berstatus sama. “Bagaimanapun, suaminya tiada di sini kerana bekerja di luar negara dengan sebuah syarikat perkapalan. Semua baki individu yang ditahan itu masih berstatus bujang,” katanya.
Beliau berkata, wanita hamil luar nikah itu ditahan mengikut Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana hamil luar nikah.
Katanya, semua individu lain ditahan mengikut Seksyen 53 enakmen sama kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.
“Sabit kesalahan kedua-dua dakwaan itu boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dicekup Jaim ketika pertemuan pertama
2010/03/05 MELAKA: Perhubungan cinta jarak jauh sepasang kekasih sejak beberapa bulan lalu dengan hanya menggunakan talian telefon bagi menghubungkan kasih mereka akhirnya membawa kepada pertemuan buat kali pertama, semalam.
Bagaimanapun, pertemuan yang dilakukan di sebuah hotel bajet berhampiran Terminal Melaka Sentral membawa detik hitam apabila mereka dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) pada jam 12.15 tengah hari.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata siasatan mendapati remaja lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari Johor sanggup datang ke negeri ini untuk menemui kekasihnya.
Pasangan sebaya terbabit ditahan empat jam selepas remaja perempuan berkenaan datang ke bilik yang disewa lelaki berkenaan.
Katanya, sebelum ini pasangan terbabit tidak pernah bertemu dan hanya menjadikan pertemuan pertama kali itu sebagai peluang melakukan perbuatan terkutuk apabila mengakui turut terlanjur.
"Berdasarkan siasatan, lelaki berkenaan menyewa bilik terbabit sejak petang semalam (kelmarin) selepas tiba dari Johor dan kemudian remaja perempuan berkenaan datang ke biliknya itu pada jam 9.30 pagi tadi (semalam).
"Ketika berada di dalam bilik berkenaan, mereka mengakui melakukan perbuatan mungkar," katanya, di sini, semalam.
Rahimin berkata, perempuan berkenaan juga mengakui mereka bukan saja tidak pernah bertemu malah dia turut menyatakan itulah julung kali masuk ke bilik sebuah hotel.
"Pasangan berkenaan turut mengakui tahu berdua-duaan di dalam bilik terkurung adalah satu kesalahan serta melakukan perbuatan maksiat boleh mendatangkan dosa besar," katanya.
Katanya, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan mahram, sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment